PUTRAJAYA: Royal Floria Putrajaya (RFP) 2024 menyasarkan kehadiran lebih sejuta pengunjung sepanjang 11 hari penganjurannya bermula pada 22 Ogos hingga 1 September depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, memasuki kali ke-13 penganjuran, RFP 2024 merupakan acara ikonik yang dibawa oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan dan akan diadakan Persisiran Tasik Presint 2 di sini.
“Bertemakan ‘Raikan Bersama’, penganjuran RFP 2024 dari 22 Ogos hingga 1 September ini amat bertepatan dengan semangat merayakan Bulan Kebangsaan, apatah lagi Putrajaya sekali lagi akan menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
“Pada tahun ini, kita pilih bunga Petunia sebagai bunga tema. Sehubungan itu, festival ini akan mempamerkan lebih 700 ribu bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan pelbagai warna dan guna yang saya percaya, pasti ada di antaranya tidak pernah kita lihat sebelum ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pra Pelancaran Royal Floria Putrajaya 2024 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, pengajuran RFP adalah selari dan menyokong kelestarian pelancongan, sosio ekonomi serta alam sekitar selaras dengan aspek yang ditekankan dalam enam fokus utama Pelan Hala Tuju Wilayah Persekutuan, melalui kluster Sejahtera @WP.
Jelas beliau, berdasarkan data tahun lalu, seramai 3.2 juta pengunjung direkodkan mengunjungi pelbagai acara di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa yang dilangsungkan di Putrajaya iaitu kenaikan lebih 50 peratus berbanding dua juta pengunjung yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, iaitu 2022.
“Jumlah kehadiran pengunjung ke RFP juga sangat menggalakkan sepanjang penganjurannya membuktikan bahawa festival ini merupakan salah satu ‘signature event’ dan produk pelancongan negara yang dinanti-nantikan.
“Saya difahamkan seramai lebih 1 juta pengunjung telah direkodkan bagi penganjuran RFP yang lalu, iaitu pada 2022. Sehubungan itu, pada penganjuran kali ini, saya menyasarkan lebih sejuta pengunjung akan hadir ke acara ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, festival kali ini disusun atur untuk menempatkan lebih 30 lokasi pameran taman dengan penyertaan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, agensi korporat, swasta, persatuan dan pengusaha bunga serta sekolah dan institusi pengajian tinggi, sekaligus akan menjanjikan satu reka bentuk pameran taman yang lebih menarik di tapak penganjuran.
Selain itu, katanya, antara komponen lain yang menjadi tarikan utama adalah Astaka Flora iaitu pameran bunga-bungaan dalam bangunan yang menghimpunkan penyertaan daripada 10 buah negara bagi kategori gubahan bunga, pameran dan pertandingan pelbagai kategori orkid, bonsai serta terrarium.
“Astaka Flora akan membawakan tema ‘tropical wonders’ dengan menjanjikan keindahan koleksi tumbuhan. tropika yang menyuntik suasana segar dan nyaman dalam hiasan taman serta bunga-bungaan.
“Lebih daripada 100 aktiviti sampingan, bengkel dan pengisian pentas turut disusun atur sepanjang acara berlangsung, disamping lebih daripada 50 gerai jualan Garden Bazaar, Hort Mart serta kraftangan,” katanya.
Waktu operasi RFP 2024 bermula pada pukul 9 pagi hingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis, manakala pada Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pada pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam. – UTUSAN