PETALING JAYA: Sebanyak 16,244 kes jenayah komersial dicatatkan dengan kerugian melebihi RM1.3 billion sejak 1 Januari hingga 21 Julai lalu.
Secara purata, sebanyak 80 kes komersial dilaporkan berlaku setiap hari dalam tempoh tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah kes yang direkodkan setakat ini menurun tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 17,322 kes.
Bagaimanapun, katanya, nilai kerugian kes-kes komersial dilihat meningkat sebanyak 37 peratus berbanding tahun lalu.
“Pada tahun lalu untuk tempoh sama, sebanyak RM1.01 billion kerugian dicatatkan manakala ia meningkat sehingga RM1.3 billion.
“Dari aspek jumlah pertuduhan, 48 peratus atau 7,672 kertas siasatan dituduh setakat ini bagi tahun 2024,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Ramli berkata, peratusan pertuduhan tahun ini lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2023.
“Sejumlah 46 peratus atau bersamaan 8,020 dari keseluruhan kertas siasatan yang dibuka telah dituduh, tahun lalu,” katanya.
Menurut Ramli, penipuan pelaburan merupakan antara kategori jenayah yang mencatatkan kerugian tertinggi dalam tempoh tersebut.
Kata beliau, sebanyak 5,386 kes penipuan pelaburan dicatatkan dengan nilai kerugian RM472.1 juta pada 2023.
“Nilai kerugian ini adalah bersamaan 38.7 peratus berbanding keseluruhan nilai kerugian bagi kes penipuan dalam talian yang dicatatkan pada tahun tersebut.
“Setakat Jun lalu, sebanyak 2,699 kes dicatatkan dengan nilai kerugian RM345.6 juta atau bersamaan 45.9 peratus daripada keseluruhan nilai kerugian penipuan dalam talian yang dicatatkan bagi tempoh sama,” katanya. – UTUSAN










