PUTRAJAYA: Perogol bersiri yang dikenali sebagai `Rambo Bentong’ kekal digantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadapnya kerana membunuh kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong, 12 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat turut mengekalkan hukuman gantung terhadap Rabidin Satir, 53, kerana membunuh seorang gadis berusia 17 tahun yang mayatnya ditemukan dengan kesan tetakan di leher dalam sebuah bilik pada 2009.
Beliau yang bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara menolak permohonan semakan banduan akhir itu terhadap hukuman mati bagi kedua-dua kes.
Sejurus keputusan diumumkan, Rabidin yang dibawa ke mahkamah dengan berkerusi roda dilihat membebel dalam Bahasa Inggeris namun tutur katanya tidak jelas sebelum dibawa oleh anggota polis ke lokap mahkamah.
Pada 3 Disember 2015, Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhkan hukuman mati ke atas Rabidin kerana membunuh lelaki berusia 31 tahun itu di Perumahan Jabatan Perhutanan di Jalan Tras, Bentong, Pahang, di antara pukul 3.50 pagi dan 4.30 pagi, 3 November 2012.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim membantah permohonan semakan Rabidin atas alasan kes itu dikategorikan sebagai `yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.
Naratif pendakwaan menyatakan, pasangan suami isteri itu yang sedang tidur di ruang tamu dikejutkan dengan kehadiran lelaki bertopeng yang kemudian menghentak kepala kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong itu berkali-kali dengan bahagian belakang pistol.
“Hentakan kepala itu menyebabkan tempurung kepala retak dan otaknya hancur manakala isteri mangsa yang sedang mengandung malah dirogol dua kali sebelum dirompak.
“Pendakwaan berpendirian trend kes seperti ini belum pernah berlaku yang mana suami dibunuh manakala isteri dirogol,” hujah Yusaini Amer.
Rabidin malah menggeledah rumah berkenaan sebelum bertanyakan sama ada pasangan itu menyimpan senjata api sebelum bertindak memukul lagi lelaki berkenaan beberapa kali.
Pada prosiding itu, peguam Muhammad Fairuz Ahmad Yusof memohon semakan dibenarkan atas alasan perlakuan anak guamnya tidak seganas mana berbanding perbuatan melibatkan seksaan dan kecederaan berganda.
Pada 2014, Rabidin dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh kerana membunuh seorang remaja di sebuah rumah di Kampung Ketari Bentong, Pahang pada 2009.
Rabidin juga dituduh merogol gadis itu tetapi Mahkamah Tinggi membebaskannya kerana tidak dapat dipastikan sama ada rogol dilakukan ketika mangsa masih hidup atau selepas kematiannya. – UTUSAN










