Pulihara Tasik Chini jangan biar terkubur

Pulihara Tasik Chini jangan biar terkubur

TASIK Chini perlu dipulihkan supaya ia tidak terkubur seperti mana Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) yang sebelum ini mengendalikan operasi pelancongan tasik semulajadi kedua terbesar negara. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Tasik Chini yang suatu ketika dahulu gah sebagai pusat pelancongan popular seluruh dunia perlu segera dipulih­kan supaya ia tidak terkubur seperti mana Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA).

Pengusaha Kompleks Pelancongan Kuala Chini, Ramli Omar, 64, berkata, sebelum ini DARA mengendalikan operasi pelancongan tasik semula jadi kedua terbesar negara itu tetapi ditutup sekitar tahun 2000.

“Walaupun Tasik Chini mempunyai pakej istimewa menarik pelancong, kelebihan yang dikurniakan kepada rak­yat Pahang tidak dipergunakan dengan sebaik-baiknya.

“Kita sedih dan terkilan apabila keistimewaan Tasik Chini yang mempunyai kekayaan flora dan fauna dan kebudayaan etnik Suku Jakun seolah-olah terasing dari pembangunan pelancongan negara.

“Usah biar Tasik Chini terkubur seperti mana DARA. Kita harap dengan usaha dilakukan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP), Tourism Pahang, Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) dan lain-lain agensi dapat mengembalikan era kegemilangan Tasik Chini apabila ramai orang termasuk penyelidik tidak jemu-jemu berkunjung ke sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ramli berkata, sebagai anak tempatan yang menyaksikan kegemilangan dan meru­dumnya kedatangan pelanco­ngan di situ, beliau mengambil tanggungjawab membaik pulih Kompleks Pelancongan Kuala Chini demi memastikan ia tidak hilang daripada radar pelanco­ngan negara dan dunia.

Katanya, Tasik Chini boleh dimasuki melalui empat pintu masuk kerana lokasi itu berdekatan dengan kawasan pembangunan dan penempatan antaranya dari Kampung Baru Salong, Kuala Chini, Kampung Melayu Felda Chini dan Chenor.

“Kompleks Pelancongan Kuala Chini yang kini dalam proses naiktaraf menyediakan kemudahan resort dan chalet kepada pelancong tempatan dan antarabangsa untuk mengadakan perkhemahan selain pakej menyusuri ke Tasik Chini,” katanya.

Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Chini, Akid Huat, 66, pula berkata, kawasan tasik seluas 4,498 hektar itu mempunyai pakej lengkap kurniaan Allah SWT dengan sumber kekayaan alam semulajadi, penghuni setia etnik Jakun dan kemunculan cerita rakyat ‘Naga Tasik Chini’.

“Kelebihan itu perlu digunakan sepenuhnya dengan memanfaatkan potensi yang pelbagai kerana minat pelancong bukan sahaja untuk menikmati panorama Tasik Chini tetapi juga terpesona dengan kisah-kisah misteri Tasik Chini.

“Tasik Chini mendapat pengiktirafan Rizab Biosfera UNESCO membuktikan tasik ini sangat unik dengan fenomena musim bunga teratai dari Jun hingga September. Di dasar tasik terdapat 90 spesies ikan, lebih 200 spesies burung dan 50 mamalia hidup di kawasan hutan sekitar tasik,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×