Pratahfiz: Kerajaan diminta buat projek rintis terlebih dahulu

Pratahfiz: Kerajaan diminta buat projek rintis terlebih dahulu

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) disaran melakukan projek rintis mengenai cadangan untuk Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dijadikan kelas pra-tahfiz menjelang tahun 2030.

Pelaksanaan projek rintis terhadap sesuatu institusi sebelum melaksanakan sebarang cada­ngan dilihat sebagai satu keper­luan bagi mengelakkan sebarang isu timbul di masa depan.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahte­raan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, secara asasnya cadangan tersebut adalah sesuatu yang baik untuk dilaksanakan.

Bagaimanapun, terdapat ke­perluan untuk terlebih dahulu melakukan projek rintis bagi mengenalpasti keberkesanan, sebarang masalah mahu pun cabaran yang bakal dihadapi kementerian sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara.

“Saya melihat cadangan ini merupakan sesuatu yang baik kerana ia memberi pendedahan awal kepada anak-anak dalam pengajian al-Quran dan berkaitan dengan agama Islam.

“Jadi saya tidak melihat ia menjadi sesuatu beban kepada mana-mana pihak termasuk anak-anak untuk mempelajari al-Quran dan sebagainya.

“Bagaimanapun, KKDW perlu memastikan pelaksanaannya terancang dan perlu melakukan kajian atau projek rintis dalam satu jangka masa bagi mengetahui sejauh mana keberkesanan, sebarang masalah atau cabaran dihadapi mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata, projek rintis tersebut antara lainnya adalah untuk mempersiapkan guru-guru mahir di dalam bidang dikehendaki supaya pelaksanaannya lebih menyeluruh.

“Pada masa sama, ibu bapa juga harus dilibatkan dalam memberikan sebarang cada­ngan. Jadi KKDW perlu melibatkan ibu bapa sebelum melaksanakan rancangan tersebut.

“Mereka perlu tahu apakah sistem pendidikan begini yang dimahukan ibu bapa di pe­ringkat tabika untuk anak-anak masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan KKDW menyasarkan Tabika Kemas seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan me­laksanakan Program Tabika Pra- Tahfiz menjelang 2030.

Program bagi memperkasa pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak itu akan menggunakan modul Yayasan Pahang, Yayasan Pendidikan Tun Abdul Razak (Pintar) dan Kemas.

“Saya persembahkan (cadangan itu) kepada Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) yang ketika itu Yang di-Pertuan Agong, Tuanku me­nyarankan pra-tahfiz Kemas yang dilaksana oleh Yayasan Pahang dapat digunakan oleh Kemas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×