PETALING JAYA: Siasatan pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah akan dijalankan dengan telus dan adil.
Itu penegasan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang sama sekali tidak akan melindungi anggotanya yang terlibat dengan jenayah.
Kata beliau, siasatan akan dijalankan dengan sewajarnya meskipun suspek yang terlibat dalam pembunuhan itu merupakan anggota polis.
“Anggota polis yang melakukan jenayah akan menghadapi keadilan atas apa yang mereka lakukan. Jangan harap kami akan melindungi perbuatannya,” katanya ketika dihubungi di sini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua warga PDRM bahawa mereka mengangkat sumpah untuk berkhidmat kepada orang ramai dan menguatkuasakan undang-undang.
“Ingat sumpah ini dan ketahuilah bahawa kelakuan anda mewakili seluruh pasukan polis.Kami tidak akan membenarkan ‘nila setitik’ ini menjejaskan imej polis,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal bagi membantu siasatan pembunuhan Nur Farah Kartini.
Suspek berusia 26 tahun itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan. Suspek bertugas di Balai Polis Slim River, Perak sejak lima tahun lalu.
Nur Farah Kartini yang bekerja sambilan di sebuah syarikat sewa kereta di Tanjung Malim dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu.
Beliau gagal dikesan selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di kawasan perumahan di Tanjung Malim sekitar pukul 8 pagi, hari terbabit.
Semalam, mayatnya ditemui dalam keadaan sudah mereput di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Felda Gedangsa di Hulu Selangor kira-kira pukul 6 petang. – UTUSAN










