Hina mahkamah: Papagomo dikenakan hukuman penjara 30 hari

Hina mahkamah: Papagomo dikenakan hukuman penjara 30 hari

WAN MUHAMMAD AZRI WAN DERIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penulis blog, Papagomo dihukum penjara 30 hari oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati menghina mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan permohonan komital yang difailkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Mahkamah turut memerintahkan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris membayar kos RM30,000 kepada Razarudin.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Dalam penghakimannya, Hakim Techiong menyatakan permohonan maaf yang dibuat Wan Muhammad Azri menerusi media sosial pada 1 Mei lalu tidak boleh diterima kerana gagal menzahirkan rasa kesal sebenar.

“Defendan (Wan Muhammad Azri) seorang yang mahir menggunakan media sosial, sudah tentu beliau tahu bagaimana cara menyampaikan permohonan maaf dengan betul di platform seperti YouTube, TikTok atau X.

“Permohonan maaf yang di­sertakan dengan muzik latar lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bertajuk Maafkan Kami itu lebih menyerupai video hiburan berbanding permohonan maaf,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 hari terhadapnya kerana gagal mematuhi perintah mahkamah untuk memohon maaf dengan sempurna kepada Razarudin.

Mahkamah kemudian menambah hukuman penjara 15 hari kerana memuat naik video baharu yang menunjukkan tiada penyesalan. Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan secara berasingan.

Pada 27 Disember tahun lalu, Razarudin memfailkan saman fitnah terhadap Wan Muhammad Azri yang menuntut ganti rugi RM3 juta.

Pada 10 Januari lalu, beliau berjaya memperoleh perintah injunksi menghalang Papagomo atau ejennya daripada menerbit atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya di mana-mana platform media sosial sehingga kes saman itu selesai.

Sebulan kemudian, Razarudin mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap Papagomo kerana gagal mematuhi perintah injunksi tersebut.

Menurut saman itu, Razarudin mendakwa Papagomo telah mengeluarkan kenyataan yang melabelkan plaintif sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan, video, status serta komen itu adalah berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi secara bertulis, lisan sama ada secara atas talian di platform media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas seperti Telegram dan WhatsApp.

Papagomo juga diperintahkan dikehendaki menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di Youtube, Tiktok, Facebook, Te­legram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember lalu yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN