Polis tahan enam lelaki, rampas dadah RM7.8 juta - Utusan Malaysia

Polis tahan enam lelaki, rampas dadah RM7.8 juta

Rampas dadah
KHAW Kok Chin menunjukkan sebahagian daripada pil ekstasi yang dirampas dalam pelbagai siri serbuan sekitar negeri ini, pada sidang akhbar dekat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis menahan enam lelaki tempatan disyaki terlibat dengan sindiket aktiviti pengedaran dadah jenis ekstasi, Erimin 5 dan syabu seberat 49.5 kilogram bernilai kira-kira RM7.8 juta di sekitar negeri ini, pada Rabu lalu.

Dalam operasi bermula kira-kira pukul 5.50 petang itu, tangkapan pertama bermula dengan penahanan seorang lelaki berusia 50 tahun dekat hadapan pos pengawal sebuah pangsapuri di Telok Panglima Garang, Kuala Langat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, susulan penangkapan suspek tersebut, polis menyerbu kereta mewah jenis Nissan Teana dan sebuah rumah di tingkat 17 salah sebuah blok pangsapuri berkenaan.

Menurutnya, kereta itu ditemui berdasarkan kunci kawalan jauh yang dirampas dari poket seluar dipakai oleh suspek, sementara rumah tersebut pula dikesan melalui nombor pendaftaran tempat letak kenderaan pangsapuri berkenaan.

“Pemeriksaan polis di tempat duduk bahagian hadapan dan belakang kereta tersebut menemukan pil ekstasi dan pil Erimin 5 masing-masing seberat 44 dan 3.55 kilogram (kg).

“Kemudian, pasukan polis membuat serbuan di rumah berkenaan dan menemukan syabu seberat kira-kira 2 kg di dalam salah sebuah rumah tersebut,” katanya.

Tambahnya, polis kemudian menahan lima suspek lain berusia 26 hingga 50 tahun termasuk pemilik kereta Nissan Teana dalam operasi berasingan di sekitar negeri ini. Sindiket tersebut juga dipercayai mulai aktif sejak awal tahun ini.

“Modus operandi sindiket itu adalah menjadikan kenderaan sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan di seluruh kawasan Lembah Klang.

Dalam pada itu, Kok Chin memaklumkan polis turut merampas pelbagai aset seperti sembilan buah kenderaan, wang tunai dan barang kemas dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM530,806.

“Saringan awal ujian air kencing mendapati kesemua suspek negatif terhadap dadah, namun lima daripada mereka dikenalpasti mempunyai rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta minimum 15 sebatan,” jelasnya.

Katanya lagi, JSJN meneruskan siasatan untuk mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas dan harta-harta orang kena tangkap serta rakan sekutunya bagi tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutkan Harta) 1988. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×