PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) boleh mengusulkan untuk mendapat tafsiran daripada mahkamah berhubung keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San mengekalkan kerusi DUN Selat Klang.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, Akta Anti Lompat Parti 2022 dan akta berkaitan, PN atau Parti Bersatu mempunyai hak untuk berbuat demikian.
“Kalau ikut hak kepada part terbabit, mereka berhak mengemukakan usul atau membawa hal itu ke mahkamah sebagaimana tertakluk dalam akta-akta yang terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita pada Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) malam tadi.
Justeru, beliau memberi gambaran kerusi yang disandang oleh bekas ahli Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari itu masih boleh dikosongkan sekiranya mahkamah membuat keputusan yang bertentangan dengan Speaker.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Weng San memutuskan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Abdul Rashid kekal selepas tindakan pemecatannya dikatakan bersifat konstruktif.
Malah, Weng San dalam penjelasannya pada hari terakhir Sidang DUN Selangor Khamis lalu menjelaskan kehadiran Abdul Rashid dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) sebagai bukti sokongan kepada Amirudin bukan sesuatu yang baharu.
Sebaliknya, kenyataan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dibuat lebih awal oleh Abdul Rashid pada Mac lalu iaitu sebelum pindaan Perlembagaan Bersatu berkuat kuasa pada bulan berikutnya.
Keputusan tersebut dibuat Perkara LXV A 2(c) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 apabila bukti yang diberikan untuk menyokong notis kekosongan diberikan sebelum ini tidak mencukupi.
“Pemberhentian keahlian ADUN Selat Kelang dalam Bersatu didapati sebagai satu constructive expulsion atau pemecatan terancang di bawah operasi Perkara LXV A 2(c) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor,” jelasnya.
Pada 7 Jun lalu, Abdul Rashid digugurkan sebagai ahli Bersatu selepas tidak mematuhi arahan dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) partinya bagi menyatakan sokongan dan pendirian masing-masing.
Baru-baru ini juga, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilapor mengekalkan kerusi enam ahli Parlimen Bersatu.
Kerusi mereka yang terlibat adalah, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) dan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid. – UTUSAN










