KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin diingatkan supaya membaca Perlembagaan Persekutuan berkaitan Akta Anti Lompat Parti secara keseluruhan dan bukan hanya mengambil sebahagian sahaja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul adalah berlandaskan undang-undang.
“Tafsiran undang-undang (perlu) dibaca secara keseluruhannyalah, jangan dipilih satu dan ditinggalkan yang lain seperti dilakukan pimpinan Bersatu semalam.
“(Ketetapan) ikut undang-undang, dia bukan soal ikut PM (atau) soal Ketua Pembangkang, dia ikut undang-undang dan tafsirannya, itu (kita) serah kepada Speaker,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Muhyiddin yang mengkritik Johari susulan keputusan mengekalkan status Ahli Parlimen enam bekas ahli Bersatu yang digugurkan parti tersebut.
Muhyiddin dilaporkan berkata, keputusan Yang Berhormat Speaker tersebut adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, tindakan Bersatu memilih membaca sebahagian undang-undang berkemungkinan sudah menjadi sebahagian gerak kerja parti tersebut.
“Saya tidak tahu mengapa dia (Muhyiddin) pilih baca sebahagian (dan) tinggalkan sebahagian, jadi mungkin itu memang kaedah kerja politik Bersatu.
“… sebab itu di kampen-kempen mereka cerita sebahagian dan tinggalkan sebahagian, seperti kes BlackRock, itu tidak betul,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri juga mengingatkan Muhyiddin bahawa ketika draf Akta Anti Lompat Parti dibincangkan, Bersatu menolak untuk memasukkan syarat yang membolehkan status Ahli Parlimen digugurkan secara automatik sekiranya dipecat oleh parti masing-masing.
“Satu hal yang sangat penting kerana semasa itu kami di pembangkang mahu masukkan sesiapa yang dipecat itu automatik gugur (status Ahli Parlimen), ditentang oleh Bersatu ketika itu, dan sebab itu dimasukkan (istilah) terkecuali, jadi kena baca Perlembagaan.
“Saya sendiri tidak terlibat dalam perbincangan itu, tetapi yang terlibat daripada wakil kerajaan ada (Yang di-Pertua Sarawak) Tun Wan Junaidi (Tuanku Jaafar), ada (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Saifuddin Nasution Ismail, (Setiausaha Agung Pas) Datuk Seri Takiyiddin Hassan) dan (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke Siew Fook.
“Jadi mereka tahu kita berkeras mahu memasukkan (syarat) jika dipecat sekali pun mesti gugur (status Ahli Parlimen) tetapi mereka (Bersatu) menentang,” katanya.
Polemik berkaitan Akta Anti Lompat Parti timbul susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar, mereka adalah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.- UTUSAN










