Pertikaian wilayah Laut China Selatan: Malaysia tidak hadapi ancaman membimbangkan

Pertikaian wilayah Laut China Selatan: Malaysia tidak hadapi ancaman membimbangkan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia tidak menghadapi ancaman membimbangkan setakat ini susulan pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Menegaskan jaminan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun berhadapan isu itu berpanjangan, hubungan negara dengan Amerika Syarikat, negara-negara barat dan China adalah baik.

Malah, beliau menjelaskan bahawa Malaysia tidak terikut dengan kerangka diplomasi asing, sebaliknya menentukan kepentingan dan strategi negara ini sendiri.

“Dalam pengalaman kita, setakat ini kita tidak hadapi ancaman yang dianggap membimbangkan.

“Hubungan kita sangat baik walaupun kalau kita lihat media barat itu menekankan seolah-olah ada cetusan dan pelanggaran beberapa peraturan oleh China tapi hubungan kita dengan china menunjukkan bahawa semua permasalahan boleh diselesaikan di meja rundingan secara teratur dan sopan,” katanya ketika berucap merasmikan Bulan Keselamatan Negara 2024 di sini hari ini.

Afiliasi wilayah beberapa pulau dan terumbu di Laut China Selatan menjadi subjek pertikaian antara China, Filipina dan beberapa negara Asia Pasifik lain selama beberapa dekad.

Rizab minyak dan gas yang signifikan telah ditemukan di pelantar benua pulau berkenaan, termasuk Kepulauan Paracel, Pulau Thitu, Terumbu Scarborough dan Kepulauan Spratly, dengan Terumbu Whitson menjadi sebahagian daripadanya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Perdana Menteri memberi jaminan tahap keselamatan nelayan di perairan Laut China Selatan sentiasa terjamin ekoran dakwaan kehadiran kapal Pengawal Pantai China (CCG) berhampiran perairan negara.

Beliau berkata, para nelayan yang menggunakan perairan berkenaan tidak perlu khuatir dengan kehadiran kapal berkenaan di kawasan sekitar Beting Patinggi Ali, Sarawak.

“Jangan takut… jangan takut,” katanya ringkas.

Terdahulu sebuah portal media melaporkan, kehadiran CCG menyukarkan nelayan dan pemancing di Miri, Sarawak untuk turun ke laut kerana khuatir diganggu CCG.

Kerajaan sebelum ini menegaskan Beting Patinggi Ali adalah milik Malaysia dan tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak lain memandangkan ia di dalam kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN