KUALA LUMPUR: Pendengaran permohonan pendakwaan untuk mengenakan hukuman sewajarnya kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil kerana menghina mahkamah akan didengar pada 14 Oktober ini.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh tersebut selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mustaffa P. Kunyalam bahawa representasi oleh Isham atau nama penuhnya Hizatul Isham Abdul Jalil pada 25 Mac lalu telah ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Isham mengemukakan representasi terbabit bagi membuat permohonan maaf secara terbuka dan tidak bersyarat kepada Badan Kehakiman.
Ia berhubung kenyataan yang dibuatnya dalam satu temu bual yang menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mahkamah turut menetapkan 25 September ini untuk pengurusan kes.
Turut hadir pada prosiding hari ini ialah Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dan peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mewakili Isham.
Pada 28 Disember 2023, pendakwaan memfailkan permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) memohon Isham dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah susulan kenyataannya dalam satu temu bual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?”.
Rakaman temu bual yang menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes penyelewengan dana SRC International dan 1MDB itu disiarkan di laman media sosial facebook “The Malaya Post” pada 30 September 2023.
Menurut afidavit yang difailkan, Isham telah mengeluarkan beberapa kenyataan mempersoalkan proses perbicaraan dan rayuan kes-kes itu.
Satu laporan polis berhubung temu bual tersebut juga telah dibuat pada 6 Oktober 2023.
Berhubung kes 1MDB, Isham didakwa telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan secara tersurat atau tersirat yang membawa maksud Hakim Sequerah telah bertindak berat sebelah apabila tidak menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes itu.
Berhubung kes SRC International, Isham dalam temu bual sama antara lain telah mempertikaikan proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dan menggambarkan panel hakim yang mendengar telah menghakimi rayuan itu dengan tidak adil.
Rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan didengar oleh panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang turut bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Isham dalam temu bual sama turut menyatakan hakim bicara bagi kes SRC International iaitu Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) telah bertindak secara berat sebelah ketika mendengar kes itu.
Menurut afidavit itu, kenyataan-kenyataan yang dibuat Isham pada temu bual itu mengandungi risiko nyata yang boleh menggugat keyakinan orang awam ke atas badan kehakiman dan boleh dianggap sebagai gangguan ke atas pentadbiran keadilan.
Selain memohon Isham dikenakan hukuman penjara atau denda, Peguam Negara turut memohon perintah-perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan kos yang akan ditaksirkan kemudian. – UTUSAN










