‘Perjanjian damai’ perlu direalisasikan - Ismail Sabri

‘Perjanjian damai’ perlu direalisasikan – Ismail Sabri

Ismail sabri
Ismail Sabri Yaakob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap ‘perjanjian damai’ yang ditandatangani antara Hamas dan Fatah dapat direalisasikan.

Katanya, deklarasi Beijing yang ditandatangani kumpulan-kumpulan tersebut semalam amat penting untuk membuktikan bahawa mereka telah bersatu dan bersedia untuk bersama-sama membina kembali Palestin selepas diceroboh serta dijajah rejim Zionis.

“Alhamdulillah, syukur, Hamas dan Fatah bersama 12 kelompok Palestin kembali bersatu dengan berikrar menamatkan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan.

“Usaha ini harus diikuti oleh seluruh dunia yang bukan hanya mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tetapi bersama-sama berusaha menamatkan penghapusan etnik dan kezaliman yang paling dahsyat pada abad ini.  

“Semoga perdamaian ini benar-benar diterjemahkan, bukan hanya di atas kertas. Palestin bebas dan merdeka!,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Hamas mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani perjanjian di Beijing, China dengan pertubuhan Palestin yang lain termasuk Fatah untuk bekerjasama demi ‘perpaduan nasional.’

Menteri Luar China, Wang Yi yang menjadi tuan rumah kepada pegawai kanan Hamas, Musa Abu Marzuk; utusan Fatah, Mahmud al-Aloul dan utusan daripada 12 kumpulan Palestin lain berkata, mereka telah bersetuju untuk menubuhkan ‘kerajaan pendamaian nasional sementara’ untuk mentadbir Gaza selepas perang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×