BESUT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mengambil masa lebih empat jam untuk memindahkan seekor gajah liar yang ditangkap di Kampung Pak Sik, Hulu Besut di sini, semalam.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, operasi memindahkan gajah jantan yang ditangkap Isnin lalu dilakukan 17 anggota dan pegawai Perhilitan Terengganu, Ibu Pejabat Perhilitan serta Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.
Menurutnya, proses memindahkan gajah berusia sekitar 10 hingga 12 tahun itu bermula dari pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 11.30 pagi berjalan lancar.
Katanya, operasi ini turut dibantu dua ekor gajah denak iaitu Suria dan Kala yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu.
“Gajah seberat dua tan ini akan dipindahkan ke habitat semulajadi yang sesuai dan selamat untuk kemandiriannya serta mengelakkan konflik dengan manusia,” katanya ketika ditemui semalam.
Kean Seong berkata, gajah liar itu didapati mempunyai kesan luka lama di belakang gajah akibat tusukan gading dan gading kirinya patah dipercayai akibat pergaduhan dengan gajah lain.
“Hasil tangkapan dan pemindahan gajah tersebut akan dapat menjamin keselamatan penduduk daripada diserang gajah tersebut, selain mengelak kerugian lebih besar memandangkan mamalia tersebut bertindak merosakkan kelapa sawit dan pisang,” ujarnya. – UTUSAN










