IPOH : Impian Perak FC mengutip kemenangan pertama di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila tumpas 1-2 kepada Kuching City FC dalam perlawanan Liga Super di sini hari ini.
Dalam perlawanan di Stadium Perak, pasukan pelawat membawa pulang tiga mata hasil jaring kemenangan Cheche Kipre pada minit ke-76.
Sebelum itu, Wan Zack Haikal meletakkan Perak mendahului apabila menyempurnakan peluang pada minit ke-17.
Tindakan berani penjaga gol Perak, Ramdhan Abdul Hamid berjaya menyelamatkan The Bos Gaurus daripada dibolosi apabila menangkap bola di kaki Jordan Mintah pada minit ke-27.
Aksi pada babak kedua menyaksikan perubahan corak pelawat apabila lebih menguasai perlawanan.
Tekanan demi tekanan Kuching City terhadap pasukan tuan rumah akhirnya berhasil menerusi Jordan Mintah yang menyamakan kedudukan apabila menanduk masuk bola ke gawang Perak pada minit ke-68.
Lapan minit kemudian, Kipre menjadikan kedudukan 2-1 apabila menguis bola melepasi Ramadan yang keluar dari pintu gol.
Walaupun Perak berusaha mencari gol penyamaan tetapi Kuching City kental bertahan hingga penamat untuk mengecewakan kira-kira 2,000 penyokong tuan rumah. – UTUSAN










