IPOH: Perak FC tetap memberi sokongan penuh kepada Ketua Jurulatih, Yusri Che Lah biarpun pasukan kendaliannya gagal mencapai keputusan memberangsangkan dalam saingan Liga Super setakat ini.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata demikian ketika tekanan memuncak supaya Yusri berundur daripada jawatannya berikutan kekalahan terbaru 0-2 kepada Penang FC, di Ipoh, Sabtu lalu.
Perak tumpas empat daripada lima perlawanan liga setakat ini serta tersingkir daripada saingan Piala FA.
“Kami dengan rendah hati memohon maaf di atas prestasi yang ditampilkan oleh pasukan Perak FC pada perlawanan minggu lalu, seperti semua peyokong sekalian, kami turut berasa sangat kecewa dengan kekalahan ini.
“Lebih-lebih lagi apabila kita mengetahui kualiti pasukan Perak FC yang mampu beraksi dengan tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak pengurusan yakin kemampuan Yusri , individu yang berjaya membimbing pasukan hingga ke separuh akhir Piala Malaysia 2023 dengan menewaskan pasukan hebat seperti Kedah dan Sabah pada saingan musim lalu.
*Menewaskan Kedah sekali lagi musim ini membuktikan kita adalah pasukan yang boleh bersaing,” katanya.
Abdul Azim tetap yakin pasukan itu akhirnya akan lebih utuh dan beraksi seperti yang dijangkakan.
“Musim ini adalah musim yang sangat mencabar. Kami mempunyai pelbagai cabaran dan halangan untuk diatasi, dalam masa sama kami mempunyai sumber yang terhad untuk menanganinya satu demi satu.
“Yakinlah, pihak pengurusan Perak FC sentiasa bekerja tanpa jemu untuk menyediakan satu pasukan yang kompetitif dan menghiburkan untuk peminat The Bos Gaurus,” katanya.
Beliau mengaku mash belum sempurna namun beriltizam dan terus komited dalam memastikan perkara itu pasti akan berhasil.
Beliau memberi jaminan, sebagai pemilik kelab mereka terus kekal untuk memacu pasukan kebanggaan rakyat negeri Perak.
“Kami tetap optimis mampu mengubah keadaan dan sasaran mengekalkan standard prestasi di tahap tertinggi. yang diharapkan penyokong mampu dicapai, ” katanya. – UTUSAN










