KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memiliki senjata tiruan dan memasukkan dadah ke dalam badan.
Tertuduh, Zul Eizman Syafeeq Suhainin, 26, mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan sebaik kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dalam milikannya selaras pistol tiruan di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Ladang Sehat, di sini, kira-kira pukul 1.30 petang pada 18 Julai lalu.
Zul Eizman Syafeeq didakwa di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sambil mendakwa tidak waras ketika kejadian dan memohon untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tampin.
Mahkamah membenarkan Zul Eizman Syafeeq diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memasukkaan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam badannya di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik daerah pada 2.30 petang tarikh yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan menjalani pengawasan polis sehingga tiga tahun di bawah Seksyem 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Bagi kes itu, Noor Mazrinie membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 30 September untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh diwakili peguam, Azlina Jaafar.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki dicekup polis selepas videonya menunggang motosikal sambil mengacu-acukan objek menyerupai sepucuk pistol tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, suspek mengaku melakukan perbuatan itu selepas mengambil pistol mainan berkenaan dari tong sampah. – UTUSAN










