RIYADH: Kumpulan Houthi di Yaman memiliki pelbagai senjata termasuk peluru berpandu balistik jarak sederhana dan dron serangan yang mampu menyasarkan kemudahan strategik jauh ke dalam wilayah Arab Saudi.
Persenjataan itu membolehkan kumpulan yang turut dikenali sebagai Ansar Allah menggunakan serangan jarak jauh untuk menembusi sistem pertahanan udara Arab Saudi, termasuk menyasarkan lapangan terbang dan kemudahan minyak.
Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh menjadi sasaran beberapa kali sejak kumpulan itu melancarkan kempen ketenteraan baharu terhadap Arab Saudi sejak Julai lalu.
Namun, serangan ke atas lapangan terbang itu pada Sabtu lalu mengorbankan 12 nyawa termasuk rakyat Amerika Syarikat (AS) dan mencederakan 309 yang lain, menjadikannya serangan paling dahsyat di Arab Saudi dalam tempoh lebih sedekad.
Houthi kemudian melancarkan serangan ke atas lapangan terbang antarabangsa Riyadh pada Ahad mengorbankan seorang dan mencederakan 11 yang lain
Bagaimanapun, jenis senjata yang digunakan dalam serangan terhadap lapangan terbang Riyadh pada Sabtu masih belum diketahui.
Namun, Houthi telah melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke arah Arab Saudi sejak campur tangan ketenteraan pada 2015.
Kumpulan yang disokong Iran itu turut menyasarkan Israel dan kapal yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel sejak bermulanya pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada Oktober 2023.
Kumpulan itu menggunakan senjata secara serentak dengan menggabungkan dron dan peluru berpandu yang bergerak pada kelajuan berbeza bagi mengelirukan sistem pertahanan udara.
Taktik gabungan sama turut digunakan dalam perang darat di Yaman, apabila Houthi membedil kedudukan pasukan kerajaan selama beberapa minggu sebelum merampas kawasan pantai Laut Merah menerusi serangan pantas bulan lalu.
Houthi pernah melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas kemudahan gergasi tenaga Arab Saudi Aramco di Riyadh dan kawasan Khurais yang kaya dengan minyak di bahagian timur negara itu.
Arab Saudi juga mendakwa Houhi melancarkan serangan ke atas Mekah dan Madinah bulan lalu.
Antara senjata paling canggih yang dimiliki kumpulan itu ialah peluru berpandu balistik jarak sederhana seperti Palestine-2, peluru berpandu dua peringkat yang menggunakan bahan api pepejal dan dipercayai mempunyai jarak sehingga 2,000 kilometer dan berkeupayaan hipersonik.
Satu lagi ialah Toufan, yang dipercayai merupakan peluru berpandu Ghadr buatan Iran yang diberi nama baharu.
Senjata itu dianggarkan mempunyai jarak antara 1,350 kilometer hingga 1,950 kilometer.
Jarak jangkauan peluru berpandu berkenaan, yang sebahagiannya dilengkapi kepala peledak berangkai, membolehkan Houthi menembusi rangkaian pertahanan udara Israel yang terletak kira-kira 2,000 kilometer dari Yaman
Walaupun Arab Saudi membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk ketenteraannya, serangan Houthi masih berjaya menembusi pertahanan negara itu.
Ketika ini, pertempuran sengit antara Houthi dengan pasukan kerajaan yang disokong Riyadh terus berlaku di Yaman, mengorbankan sejumlah orang di kedua-dua pihak.
Siri serangan Houthi ke arah Arab Saudi semakin meningkat sejak Julai, apabila permusuhan yang kembali tercetus memusnahkan gencatan senjata yang bertahan selama beberapa tahun dan mengheret Yaman ke dalam perang yang lebih meluas di Asia Barat.











