Pekebun durian tingkat keluaran penuhi permintaan di China

Pekebun durian tingkat keluaran penuhi permintaan di China

MOHD. Zahari Ali (kanan) dan pekebun durian, Nasura Mohd. Yusof menunjukkan sebahagian tanaman durian di Ulu Beranang yang turut dirancang untuk membekalkan buah durian ke pasaran China tidak lama lagi. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Para pekebun durian di Negeri Sembilan bersedia untuk mengeluar dan membekalkan buah durian dengan lebih banyak pada masa hadapan bagi memenuhi permintaan dari negara China susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China pada 19 Jun lalu.

Pengerusi Gabungan Kluster Pekebun Durian Ulu Beranang, Mohd. Zahari Ali berkata, eksport durian segar ke China sudah pasti meningkatkan lagi permintaan buah durian komersial sekali gus mengelakkan berlakunya lambakan raja buah bermutu tinggi di pasaran kelak.

“Keputusan terbaharu ini pasti akan banyak membantu pekebun, kalau tidak dieksport dikhuatiri akan berlaku lambakan.

“Harga juga mungkin akan jatuh dan akan menyebabkan orang sudah tidak lagi menanam durian kerana pengeluaran dan permintaan tidak seimbang.

“Di Ulu Beranang ini terdapat kira-kira 78 orang pekebun durian yang melibatkan 85 hektar keluasan tanaman durian. Selepas kluster pekebun durian ini diwujudkan pada 2017, beberapa kebun di sini telah mula mengeluarkan hasil durian yang mempunyai nilai yang tinggi seperti Musang King, Duri Hitam dan Durian Kampung Premium.

“Kami menjangka kira-kira dua hingga tahun lagi, durian di kawasan ini dapat mengeluarkan lebih banyak durian premium yang mencapai gred untuk eksport ke China selain lebih ramai pekebun di sini lulus Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) iaitu syarat utama diperlukan untuk mengeksport buah durian ke China,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu, pemilik The Kebun di Kampung Tengkek, Kuala Pilah, Zurfahiz Hussin, 44, berkata, pemeteraian perjanjian di antara Malaysia dan China itu bermakna pasaran durian bagi pekebun di negara ini juga sudah semakin besar.

Menurut beliau, langkah tersebut juga dapat meningkatkan hasil pekebun kerana kelulusan pengeksportan durian segar ke China itu melibatkan kaedah petik berbanding gugur.

“Buah dipetik pada indeks masak 70-75 peratus. Kaedah petik dapat menjimatkan kos operasi kebun malah kaedah petik juga dapat meningkatkan hasil apabila buah yg dipetik sebenarnya melebihi 5 hingga 10 peratus dari berat durian yang telah gugur.

“Kaedah petik dapat mengurangkan risiko buah rosak, ini kerana ia ditentukan lebih awal semasa tukang petik memetik­nya. Seterusnya ia juga mengurangkan risiko buah hilang dan meningkatkan hasil pengusahanya,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×