PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, pasukan pembelaan yang mewakili pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengemukakan permohonan untuk membuat pembetulan nama Zayn Rayyan Abdul Matiin pada kertas pertuduhan kes ibu bapa kanak-kanak autisme itu.
Peguam Fahmi Abd. Moin memaklumkan, pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor untuk meminda butiran pada sijil kelahiran dengan memasukkan nama Zaim Ikhwan sebagai bapa kanak-kanak berkenaan.
Beliau yang turut bertindak bagi pihak Ismanira selepas Tetuan Emir Mahmud & Co. tidak lagi bertindak mewakili wanita itu berkata, pihak pembelaan menerima surat cabutan daripada JPN pada 4 Julai lalu.
“Sijil kelahiran baharu telah dikeluarkan yang mana nama arwah kini ialah Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan dan kami terima pada 4 Julai lalu,” ujar beliau pada sebutan kes di hadapan Hakim Dr. Shahliza Warnoh hari ini.
SIJIL LAHIR
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar mengesahkan telah menerima salinan sijil lahir berkenaan ketika prosiding kes.
“Jika ada pindaan berhubung nama mangsa dalam pertuduhan ini, kami akan maklumkan perkembangannya pada prosiding tarikh akan datang,” katanya yang turut hadir bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Syahliza meminta pendakwaan menyemak dengan pihak JPN butiran berkenaan dalam sijil kelahiran terlebih dahulu dan memaklumkannya kepada mahkamah.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira dituduh mengabaikan kanak-kanak autisme itu di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










