PBAPP mohon pengguna jimat air 10 peratus

PBAPP mohon pengguna jimat air 10 peratus

PENGGUNA air di Pulau Pinang dinasihat untuk mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus sehingga musim hujan yang dijangka bermula September ini.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pengguna air di Pulau Pinang dinasihat agar mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus sehingga musim hujan yang dijangka bermula September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, dalam tempoh antara Januari hingga Jun lalu, purata penggunaan air di Pulau Pinang adalah sebanyak 887 juta liter sehari (JLH).

“Dalam tempoh yang sama pada 2023, purata penggunaan air ialah sebanyak 877 JLH. Jadi, dalam erti kata lain, penggunaan air di Pulau Pinang telah meningkat secara purata sebanyak 10 JLH dari tahun ke tahun,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Pathmanathan, data PBAPP menunjukkan bahawa pengurangan 10 peratus dalam penggunaan domestik di Pulau Pinang pada 2024 akan diterjemahkan kepada penjimatan air sebanyak 50 JLH.

“Jadi, jika setiap pengguna air domestik Pulau Pinang dapat mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus, kita akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memastikan bekalan air mencukupi sehingga hujan tiba pada September 2024,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu serta menggesa pengguna air domestik di Pulau Pinang agar mengurangkan penggunaan air di rumah dengan kadar segera.

“Sila mainkan peranan anda untuk meminimumkan risiko krisis air di negeri ini pada tahun 2024,”katanya.

Dalam pada itu, Pathmanathan memberitahu, hujan yang rendah sejak Januari 2024 telah memberi kesan kepada operasi bekalan air di Pulau Pinang.

Katanya, situasi itu menyebabkan kapasiti efektif empangan berada pada paras rendah iaitu Empangan Air Itam berada pada tahap 41.1 peratus dan Empangan Teluk Bahang (31.9 peratus) semalam.

“Pengeluaran air terawat juga lebih rendah di Loji Rawatan Air Terjun (LRA) disebabkan kekurangan air mentah dari kawasan tadahan air (KTA) Air Terjun Pulau Pinang.

“Selain itu, pengeluaran air terawat yang lebih rendah turut berlaku di Sungai Pinang (LRA) disebabkan kekurangan air mentah dari KTA Titi Kerawang,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×