PARLIMEN: Malaysia sertai BRICS tidak bercanggah dasar luar negara

PARLIMEN: Malaysia sertai BRICS tidak bercanggah dasar luar negara

ANWAR IBRAHIM - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan Malaysia menyertai kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) tidak bertentangan dengan dasar luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mengambil pendekatan menjalin hubungan baik dengan semua pihak lebih-lebih lagi dengan kemunculan kekuatan ekonomi baharu.

Menurut beliau, dalam masa sama  Malaysia juga akan terus menjalin hubungan dengan Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dimeterai Kabinet terdahulu.  

“Sebenarnya tidak bertentangan dengan dasar luar kita. Kita mengambil pendekatan sebagai negara yang bebas dan merdeka untuk menjalin hubungan dengan semua pihak. 

“Tetapi kita juga lihat kenyataan, ekonomi sekarang di mana kekuatan ekonomi tidak lagi unipolar yang bergantung kepada satu negara besar Amerika Syarikat (AS) tetapi telah muncul kekuatan-kekuatan baharu termasuk China, India dan lain-lain,” kata beliau pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Perdana Menteri  berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai faktor utama yang menyebabkan negara mengubah pendirian dan bersetuju menyertai BRICS. 

Dalam pada itu, kata Anwar, Malaysia tidak sepatutnya ‘terikat’ dengan satu blok ekonomi semata-mata. 

“Mengapa kita harus terikat dengan satu blok? Sekarang apabila ada perkembangan wujud satu blok baharu yang akan memberi saingan dan bidang kerjasama, kita juga terus menjalin hubungan dengan kedua-duanya atau lebih daripada itu,” katanya. 

Pada 18 Jun lalu, Anwar mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk Malaysia menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Terdahulu, ketika wawancara bersama syarikat penerbitan berpangkalan di Shanghai, China iaitu Guancha, Anwar berkata, Malaysia memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS dan kini menunggu maklum balas.

BRICS ialah kumpulan ekonomi sedang pesat membangun membabitkan Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.

Blok itu ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China manakala Afrika Selatan kemudian menyertai kumpulan itu pada 2010.

Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun dan  paling penting bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.

BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.

Di sebalik manfaat dan peluang yang dibingkaikan kerajaan selepas Malaysia memohon menyertai BRICS, wujud pandangan berbeza berhubung implikasi jika Malaysia secara rasmi menganggotainya.

Dalam wawancara Mingguan Malaysia pada 30 Jun lalu, ahli akademik dan penganalisis ekonomi bimbang jika AS  akan bertindak balas sehingga menarik keluar pelaburan dari Malaysia, hanya disebabkan AS seteru kepada Rusia dan China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN