KUALA LUMPUR: Tidak pernah sepanjang perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat percakapan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook tersekat-sekat dan tercungap seperti berlaku pagi tadi sehingga mencetus situasi mencemaskan.
Beliau yang dijadual menjawab soalan pertama dikemukakan oleh Wong Chen (PH-Subang) kelihatan tidak selesa ketika memulakan sesi jawab lisan, namun tiba-tiba batuk dan memohon diberi sedikit masa untuk menenangkan diri.
Soalan tersebut berkaitan garis panduan untuk membenarkan pemandu orang kurang upaya (OKU) dengan lesen A/A1 untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing dan rancangan kerajaan mengubah garis panduan bagi membenarkan pemandu OKU mendapatkan lesen PSV.
Situasi itu mendorong Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) meminta Siew Fook berehat dan menjalankan pemeriksaan kesihatannya di hospital.
“Relaks dulu Yang Berhormat (YB), kena periksa di hospital. Bahaya, bahaya,” katanya.
Beliau juga dilihat menepuk dadanya beberapa kali, sambil memberi isyarat kepada Timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah yang turut berada di dalam Dewan untuk meneruskan sesi itu.
Habibollah kemudian mengarahkan Siew Fook duduk dan bertenang kemudian menjawab soalan Wong Chen.
Bagaimanapun, Siew Fook mengambil alih semula tugas tersebut daripada timbalannya dan menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Chen. – UTUSAN










