PUTRAJAYA: Kutipan yang belum dipindahkan oleh My E.G. Sdn Bhd (MYEG) dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencecah RM314 juta bermula 19 Mei sehingga 30 September lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah kutipan hasil kerajaan itu belum dipindahkan oleh MYEG dan Zetrix AI Berhad ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Ini yang saya hendak memperbetulkan sedikit laporan-laporan media yang mengatakan bahawa sudah tiga tahun mengapa JPJ dan MOT tidak mengambil tindakan, tak betul, tiga tahun itu tidak tepat.
“Tunggakan ini bermula bulan Mei tahun ini. Sebelum bulan Mei, memang dulu-dulu pun ada tunggakan, kadang-kadang ada tunggakan, tetapi selepas kami mengeluarkan surat notis peringatan, mereka bayar tunggakan dan sebagainya.
“Tetapi tunggakan yang tidak berbayar ini sebanyak RM314 juta adalah sejak bulan Mei tahun ini, iaitu beberapa bulan lalu sahaja, bukannya tiga tahun,” katanya semasa sidang akhbar di sini semalam.
JPJ sebelum ini dilaporkan mengambil keputusan untuk menggantung perkhidmatan saluran MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil JPJ berkuat kuasa semalam.
Tindakan itu setelah mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan serta kedudukan obligasi yang masih belum diselesaikan syarikat berkenaan.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, MYEG telah dilantik sebagai ejen pemungut JPJ bagi perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor, Pertukaran Hak Milik Kenderaan Motor, perkhidmatan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan pembayaran saman secara elektronik sejak tahun 2000.
Jelasnya, syarikat tersebut bertanggungjawab memindahkan kutipan hasil kerajaan secara harian mengikut ketetapan satu hari bekerja selepas transaksi dilaksanakan.
“Dalam usaha mendapatkan semula kutipan hasil, MOT dan JPJ telah mengambil beberapa langkah termasuk mengadakan empat sesi libat urus sejak bulan Mei 2026 bersama semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan dan mengeluarkan 35 notis peringatan serta menetapkan tempoh penyelesaian tunggakan.
“Pada 21 Ogos 2026, pihak syarikat telah menyerahkan cek bertarikh 30 September 2026 bernilai RM231 juta sebagai penyelesaian tunggakan pada ketika itu. Bagaimanapun, apabila cek tersebut dikreditkan pada 30 September 2026, pihak bank tidak memproses cek tersebut atas arahan pihak syarikat tersebut,” ujarnya.-UTUSAN.











