BAIK susunan warna botol minuman, hingga bahasa diucap atau dipendam, hanya Ali paling tahu apa yang ada dalam hati Amir. Mungkin benar, setiap kembar ada anugerah istimewa iaitu pertautan hati; semacam deria keenam yang boleh saling faham tanpa perlu menyentuh tubuh.
Ali dan Amir tahu, mereka hanya ada sesama mereka sejak berkongsi rahim, sejak ibu mati, sejak ayah hilang selepas berkahwin lagi. The Fox King (TFK), filem terbaharu Woo Ming Jin cuba menggali, menguji pertautan ini menerusi kembar yang dilakonkan sangat cemerlang Idan Aedan sebagai Ali dan Hadi Putra sebagai Amir.
Amir dan Ali hanyalah dua kanak-kanak yang mahu mengenal dewasa dengan kekosongan sosok orang tua. Walaupun intuisi mereka saling berbicara, tapi cara mereka memandang hidup sangat berbeza.
Amir lebih semberono, terdesak mahu disayang dan dipandang berbanding Ali. Walau dia tahu bapanya seorang tolol, kaki tipu namun dia sanggup menerobos masuk kebun durian milik orang walau risikonya, dia mungkin mati di hujung senapang.
Kita bukan tidak tahu Amir di sebalik kekakuannya sebagai manusia, dikurniakan Tuhan ketajaman menebak malang yang datang jika melihat bagaimana dia memberi isyarat kepada Uncle Lonny untuk tidak menghantar nelayan ke lautan.

Oleh itu, pasti Amir juga boleh menduga ajakan bapanya untuk ke sempadan bakal membawa bencana. Tapi kerana dahagakan kasih seorang bapa, firasat itu diketepikan buta-buta.
Ali bagaimanapun tidak mudah dipermainkan perasaan, dia mempertanyakan semuanya. Sebagai abang, dia mempunyai rasa tanggungjawab melindungi Amir, sesuatu yang gagal dilunaskan orang tuanya sendiri. Malah, hanya dia yang tahu makna setiap haiwan yang disebutkan Amir bagi menggambarkan sesuatu baik itu monyet, gagak, musang atau apapun itu. Tak ada yang boleh mentafsirkannya setepat Ali.
Kemudian wujudlah seorang Lara, seorang guru bahasa Inggeris lakonan Dian Sastrowardoyo semacam litmus menguji sekuat mana keserasian kembar. Keduanya menaruh hati, hal-hal wajar bagaimana seorang remaja mula meneroka perasaan cinta dan kasih di usia itu.

Di sinilah The Fox King menunjukkan bahawa intuisi pasangan kembar ini mula samar-samar. Cemburu dan amarah saling membangun dinding antara mereka membuatkan Ali tidak lagi boleh memahami dan merasai telepati Amir.
Tapi, jika diperhatikan, walaupun mereka berdua menyukai Lara namun perasaan itu tidak sama. Amir menyukai Lara macam seorang kakak atau emak ingin dibelai dan diperhatikan, ini kerana apabila nampak ayahnya tiba di tepi pandai, dia berlari meninggalkan Lara manakala Ali tidak menyukai Lara seperti kakak, tapi mahu mencintainya sebagai seorang wanita.
Dia memilih ‘api’, tahu romansa dalam diri bakal marak membakar seluruh sabar. Sepanjang filem berjalan, The Fox King menunjukkan bagaimana orang dewasa selalu datang hanya untuk menawarkan kekecewaan.
Bagaimanapun, The Fox King ada bahagian yang meleret-leret. Premisnya sudah menarik, tapi ada subplot yang saya nilai tidak terlalu kuat menyokong cerita Ali dan Amir seperti kisah mereka bersama Uncle Lonny.

Lara sahaja sebenarnya sudah cukup memberikan sebuah cerita dan konflik yang kemas. Selain itu, tanpa mempersoalkan mutu lakonan Dian, saya tertanya-tanya mengapa karakter Lara dipilih dengan latar seorang wanita berbahasa Indonesia mengajar di pedalaman? Apa signifikannya?.
Mungkin jika The Fox King tidak menyentuh faktor geografi di dalam naskhah, kita boleh menganggap kisah ini berlaku di sebuah negeri fantasi yang mana pertuturan dalam bahasa apapun tidak menjadi masalah.
Namun, apabila sesuatu tempat disebut dalam naskhah, sukar untuk kita mengetepikan logik seperti bagaimana seseorang boleh terhanyut dari Bentong ke Osaka yang dinilai terlalu jauh. Juga mengapa Osaka tiba-tiba dipilih sebagai lokasi pertemuan semula dua beradik ini kerana ia tidak pernah dibicarakan di mana-mana bahagian filem sebelum ini.
Walaupun The Fox King bukanlah filem pilihan saya yang diharap mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi, saya tidak boleh menafikan bahawa filem ini mempunyai penutup yang sangat mengesankan, syahdu dan indah ditonton setakat tahun ini.
Setidaknya Amir dan Ali masih meninggalkan kesan-kesan sunyi setiap kali teringat mereka bermain teka penutup botol terakhir kali.











