Houthi beri amaran baharu, ancam ruang udara Arab Saudi

Houthi beri amaran baharu, ancam ruang udara Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA: Kumpulan Houthi di Yemen mengeluarkan ancaman baharu terhadap ruang udara Arab Saudi, susulan serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan 309 yang lain.

Walaupun tidak mengaku bertanggungjawab secara langsung terhadap serangan itu, Houthi mengancam untuk melancarkan serangan baharu terhadap lapangan terbang di Arab Saudi, kecuali di dua kota suci Mekah dan Madinah, selain memberi amaran kepada penumpang dan syarikat penerbangan supaya tidak melakukan perjalanan.

Reuters melaporkan kumpulan terbabit menegaskan amaran mereka itu harus ‘diambil serius’ dan Arab Saudi memikul tanggungjawab atas kegagalan memintas serangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lapangan terbang dan ruang udara kini terdedah kepada serangan dan menjadi medan operasi pasukan kami,” tulis jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree di platform X.

Serangan pada Sabtu itu merupakan serangan paling dahsyat di Arab Saudi dalam tempoh lebih sedekad.

Pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi berkata, mangsa yang terbunuh terdiri daripada empat warga Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat (AS), Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan.

Serangan terhadap hab penerbangan di ibu negara Arab Saudi itu mengundang kecaman utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Beliau menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak boleh diterima dan berkata, beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan menyertai serangan Arab Saudi terhadap Houthi.

“Kami mungkin berbuat demikian. Kami akan menelitinya. Kami baru sahaja mendapat maklumat mengenai serangan terbaharu itu, jadi kami akan membuat keputusan,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih.

Operasi di Lapangan Terbang King Khalid di Riyadh digantung sehingga Isnin menurut sumber kanan dalam sektor penerbangan.

“Maklumat yang kami terima ialah beberapa sistem telah rosak, termasuk peralatan radar dan komunikasi,” kata sumber itu kepada AFP, sambil menambah keadaan landasan juga perlu dinilai.

Gabungan tentera pimpinan Arab Saudi turut mengumumkan pada malam Sabtu, satu objek yang dipercayai peluru jatuh berhampiran lapangan terbang Dammam, di timur negara itu.

Kedutaan AS di Arab Saudi pada Ahad memaklumkan kakitangannya yang bertugas di negara itu kini perlu mendapatkan kebenaran sebelum menggunakan lapangan terbang di Dammam dan Jeddah, beberapa hari selepas arahan sama dikeluarkan bagi lapangan terbang Riyadh.

Serangan di Riyadh mendorong pihak berkuasa kesihatan mengaktifkan langkah luar biasa dengan memanggil sejumlah besar doktor untuk bertugas, menurut sumber perubatan.

Sekolah-sekolah di Riyadh kembali melaksanakan pembelajaran jarak jauh buat kali kedua dalam tempoh sebulan, berdasarkan emel yang diterima ibu bapa dan dilihat AFP.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, menyifatkan serangan itu sebagai peningkatan ketegangan berbahaya, manakala Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengecam serangan keji berkenaan. Jordan pula menyifatkannya sebagai tindakan kejam.

Di Yemen, pasukan kerajaan yang disokong Arab Saudi sedang mara menentang Houthi di kawasan sekitar Selat Bab al-Mandab yang ditawan kumpulan itu bulan lalu, menurut sumber ketenteraan kepada AFP pada Sabtu.

Selat berkenaan merupakan laluan penting bagi pengangkutan minyak dan kargo melalui Laut Merah.

Bagaimanapun, Houthi mendakwa berjaya mematahkan kemaraan pasukan kerajaan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini