BAGAN SERAI: Kira-kira 250 hektar sawah di Parit Haji Taib 3 di sini, kering kontang selepas pengairan di kawasan itu dihentikan berikutan paras air Tasik Bukit Merah surut kerana musim panas.
Ketua Unit Peladang Kawasan Parit Haji Taib 3, Azhar Hashim, 56, berkata, apa yang membimbangkan adalah padi yang baru sahaja ditanam berusia lapan hingga 35 hari berisiko rosak.
Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian menghentikan pengairan ke sawah di situ pada 28 Jun lalu selepas padi ditanam.
“Apabila bekalan air dihentikan, padi yang baru ditanam terjejas dan mengalami pelbagai masalah. Pesawah bukan hanya terpaksa mengeluarkan modal tambahan untuk penyemburan racun tetapi tanaman yang berusia bawah seminggu berkemungkinan besar terbantut pertumbuhannya.
“Kami berharap pihak berkaitan dapat memberi fokus sepenuhnya masalah ini kerana Kerian adalah kawasan jelapang padi yang menyumbang 70 peratus bekalan beras negeri ini,” katanya semalam.
Azhar berkata, berikutan masalah yang dihadapi pesawah, mereka wajar dikategorikan sebagai bencana alam agar bantuan segera dapat diberikan.
Sementara itu, Ketua Unit Peladang Parit Haji Ali, Muslan Napiah,49, berkata, kerajaan perlu memberi fokus masalah air kerap surut di Tasik Bukit Merah terlebih dahulu sebelum melaksanakan rancangan menjual air ke Pulau Pinang.
Menurutnya, tasik itu adalah satu-satunya punca air untuk penggunaan bekalan domestik dan pengairan bendang di Kerian yang melibatkan lebih 20,000 hektar sawah padi.
“Pesawah yang terjejas dengan isu ini sangat mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan kerana mengeluarkan modal yang banyak bagi memulakan musim penanaman tahun ini,” katanya. – UTUSAN










