P.Pinang: Peruncit simpan barang kawalan tanpa lesen berdepan tindakan

P.Pinang: Peruncit simpan barang kawalan tanpa lesen berdepan tindakan

SEORANG anggota penguatkuasa KPDN Pulau Pinang memeriksa barang kawalan di sebuah kedai runcit di Bayan Lepas, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Dua pemilik kedai runcit di sekitar Bayan Lepas di sini kini berdepan tindakan selepas dikesan menyimpan dan menjual barang kawalan berjadual tanpa lesen.

Ia susulan dua operasi berasingan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dengan kerjasama Cawangan Siasatan dan Perisikan Khas (CSPK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, semalam.

Terdahulu, Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, kes pertama dikesan dalam satu pemeriksaan ke atas sebuah kedai runcit yang disyaki menjalankan operasi perniagaan tanpa memiliki lesen barang kawalan berjadual hasil risikan yang dibuat sebelum itu.

Beliau berkata, kes kedua pula terhasil selepas pihaknya berjaya mengesan sebuah kenderaan yang disyaki membawa barang kawalan berjadual ke sebuah kedai runcit berhampiran dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut seterusnya mendapati, kedai runcit itu juga telah menjalankan operasi perniagaan tanpa memiliki lesen barang kawalan berjadual.

“Hasil daripada pemeriksaan ini pula kemudiannya menjadikan tiga tindakan kes diambil,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jegan memberitahu, sebanyak 300 kilogram (kg) minyak masak paket 1 kg pelbagai jenama, 330 kg gula pasir kasar 1kg dan 40kg gula kasar premium; kedua-dua jenama Prai serta 129 unit tepung gandum pelbagai jenama yang dirampas dalam operasi bersepadu itu telah disita untuk tindakan selanjutnya.

“Barang rampasan juga dibuat ke atas sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton sekaligus menjadikan nilai keseluruhan
rampasan dianggarkan berjumlah RM37,209.90,” ujar beliau.

Sehubungan itu katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

Tambah beliau, pihaknya juga kini sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan di sekitar Pulau Pinang bagi mengekang ketirisan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.

“Dalam hal ini, KPDN Pulau Pinang akan terus komited dan konsisten untuk menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga,” jelas beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN