KEMAMAN: Seorang nelayan ditahan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas dipercayai menyimpan kira-kira 1,920 liter petrol tanpa permit yang sah di Kuala Kemaman, di sini, semalam.
Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, lelaki berusia 30an itu ditahan ketika serbuan dilakukan di sebuah premis yang dipercayai dijadikan stor simpanan bahan api itu kira-kira pukul 1 tengah hari.
“Hasil serbuan yang dilakukan,empat penguatkuasa KPDN, kita menemukan 64 buah tong plastik berisi kira-kira 1,920 liter petrol.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM3,168,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Saharuddin berkata, difahamkan petrol tersebut dipercayai dibeli dari stesen minyak berhampiran menggunakan kad pengenalan beberapa orang nelayan sebelum digunakan bot-bot nelayan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati stor simpanan itu tidak memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada pengawal bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan iaitu petrol,” katanya.
Sementara itu di Besut, KPDN menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 taahun selepas melakukan serbuan di sebuah stor yang dijadikan tempat menyimpan pelbagai jenis barangan tiruan Kampung Air Tawar, Kampung Raja, di sini, pada pukul 11.30 pagi semalam
Saharuddin memberitahu, barangan tiruan yang disimpan di dalam premis berkenaan diperoleh daripada pembekal di Kedah sebelum dijual semula kepada pembeli secara dalam talian dengan menggunakan platform media sosial Tik Tok.
“Pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit menemukan sejumlah bag dan kasut jenama terkenal yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).
“Kesemua barangan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah melebihi RM30,000,” ujarnya. – UTUSAN










