PETALING JAYA: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin (UNRWA), memberi amaran mungkin ‘tiada lagi kelibat kanak-kanak’ di Semenanjung Gaza dalam tempoh terdekat sekiranya tentera Israel terus melancarkan serangan sehingga meragut ratusan nyawa sehari.
Serangan berterusan oleh rejim Zionis sejak 7 Oktober tahun lalu menyaksikan tidak mustahil jika seluruh populasi kanak-kanak di Gaza akan lenyap dalam masa terdekat.
Pengarah Komunikasi UNRWA, Juliette Touma berkata, lebih 600,000 kanak-kanak di Gaza tidak dapat bersekolah sejak perang Israel bermula pada Oktober lalu.
Katanya, situasi itu berikutan penutupan sebilangan besar sekolah dan pada masa sama, sekolah-sekolah tajaan UNRWA menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal.
“Ini bermakna jika perang ini berterusan, kita akan menghadapi risiko kehilangan seluruh generasi kanak-kanak di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan semalam..
Sehubungan itu, Touma menggesa gencatan senjata dilaksanakan segera bagi menjamin masa depan kanak-kanak di Gaza.
“Mereka juga berhak untuk mempunyai masa depan yang cerah biarpun ketika ini kehidupan mereka tidak seindah seperti kanak-kanak di tempat lain.
“Kita tidak boleh menafikan hak mereka untuk mempunyai kehidupan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, laporan media antarabangsa menyatakan sekurang-kurangnya dua kanak-kanak terbunuh ekoran serangan udara yang dilancarkan tentera Israel di kediaman keluarga al-Rai di pinggir Masjid Jaffa, Gaza, semalam..
“Seorang daripada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah sehingga otaknya berkecai, sekali gus meragut nyawanya,” jelas laporan tersebut.
Sementara itu, pasukan Briged Syahidin Fil Quds giat melancarkan 14 operasi menentang tentera Israel di seluruh Gaza. – UTUSAN










