'MN boleh dihidupkan semula andai Pas tak letak syarat kepada UMNO'

‘MN boleh dihidupkan semula andai Pas tak letak syarat kepada UMNO’

MOHD. YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pas dan UMNO boleh menjalin kerjasama semula menerusi Muafakat Nasional (MN) sekiranya Pas tidak meletakkan syarat untuk UMNO menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan tersebut.

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, penyatuan UMNO dan Pas menerusi MN sebelum ini adalah satu detik bersejarah untuk orang Melayu.

Bagaimanapun katanya, kerjasama kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu berakhir kerana Pas meletakkan syarat yang tidak boleh diterima UMNO.

“Pas pun kena muhasabah diri. Kalau dia (Pas) buat syarat kepada UMNO dalam MN, Pas pun kena terima parti Amanah. Jadi, kalau Pas sendiri tidak dapat terima, jangan letak syarat kepada UMNO.

“Pas letak syarat yang ‘berat sebelah’ kepada UMNO agar terima Bersatu, tetapi, mereka sendiri tidak mahu (terima) Amanah. Jadi, mana boleh kita terima syarat berat sebelah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa, kerjasama antara Pas dan UMNO menerusi MN yang dianggap antara strategi politik paling berkesan dalam menyatupadukan orang Melayu Islam sebelum ini sukar dihidupkan.

Hal demikian kerana pendirian semasa UMNO untuk bersama DAP selain Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri menolak kerjasama dengan Pas.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, formula atau bentuk kerjasama yang pernah dijalin antara Pas dan UMNO menerusi MN sebelum ini adalah satu permuafakatan yang terbaik pernah berlaku.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, MN boleh diusahakan semula untuk penyatuan Melayu, namun, ia mesti dilaksanakan tanpa sebarang syarat daripada Pas.

“Kalau MN boleh diusahakan balik tanpa syarat, itu satu perkembangan yang baik. Tetapi, saya tidak yakin perkara ini boleh berlaku selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi Presiden Pas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×