SHAH ALAM: Tiga lelaki mengaku mencuri kabel apabila ditahan polis selepas berlaku aksi kejar mengejar antara kereta polis dengan lori Shopee yang disyaki dicuri dan dipandu salah seorang suspek dekat Persiaran Masjid, Seksyen 14 di sini, semalam.
Dalam kejadian awal pagi itu, kesemua lelaki terbabit dikesan berada dalam keadaan mencurigakan ketika unit peronda polis (MPV) membuat rondaan di kawasan berkenaan kira-kira pukul 4.40.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, ketika rondaan dibuat pasukan MPV ternampak sebuah lori tiga tan Shopee berwarna oren jenis Isuzu dinaiki kesemua supek dan mengarahkan pemandunya supaya berhenti.
“Namun arahan itu tidak diendahkan dan berlaku kejar mengejar. Kenderaan tersebut berjaya ditahan di bahu Jalan Persiaran Masjid.
“Pemeriksaan dalam kenderaan di bahagian belakang mendapati 13 potongan kabel bersaiz 2 inci, panjang lebih kurang 2.4 hingga 3.7 meter yang telah dipotong di dalam bahagian belakang kenderaan yang disyaki telah dicuri,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, kesemua lelaki berusia 23 hingga 38 tahun mendakwa mencuri kabel berkenaan di sekitar tepi jalan Seksyen 3 di sini.
“Kesemua suspek turut mempunyai pelbagai rekod lampau jenayah dan dadah. Saringan awal air kencing kesemua suspek dapati positif dadah jenis Metamfetamin.
“Kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hingga 5 Julai 2024 oleh Majistret Tuan Muhammad Syafiq Sulaiman di Mahkamah Majistret Shah Alam. Dengan tumpasnya kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan kes-kes kecurian kabel yang berlaku dalam daerah ini,” ujarnya.
Kata Iqbal lagi, kesemua suspek di siasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Siti Fairuz Abdullah di talian 014-6494430,” katanya. – UTUSAN










