IPOH: Pameran Perdagangan Ipoh-Nanning akan diadakan di Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) cawangan Perak di sini pada 1 hingga Ogos depan sempena ulang tahun ke-50 tahun hubungan Malaysia dengan China.
Pameran tersebut menyediakan 100 ruangan pameran produk untuk syarikat yang menyertainya iaitu 30 syarikat tempatan dan 20 syarikat antarabangsa dari China dan selatan Thailand dan Singapura.
Pameran merangkumi syarikat francais, kecerdasan buatan, ekonomi digital dan pameran pelbagai barangan pengguna melibatkan 40 pempamer dari China, 10 dari Thailand manakala selebihnya usahawan tempatan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pada awalnya program itu merupakan pameran perdagangan antara Ipoh dan Nanning di China bersempena ulang tahun ke-50 tahun hubungan Malaysia dengan China.
Katanya, namun program ini diperluaskan sehingga di seluruh negara China.
“Memandangkan negara China semakin berkembang pesat dalam bidang perdagangan, ekonomi dan teknologi pintar, kita harus mengambil peluang ini untuk memperluaskan aliran perdagangan dan transaksi dengan negara China, meningkatkan kualiti produk serta melatih bakat tempatan.
“Sudah tiba masanya, Malaysia perlu bersaing dengan negara-negara maju di dunia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Rumaizi berkata, tujuan utama penganjuran pameran ini ialah untuk menarik usahawan dan kumpulan perniagaan dari negara China untuk mengambil bahagian, melabur dan mendirikan perniagaan di negara ini.
Katanya, ini selaras dengan program Rancangan Rumah Kedua (MM2H) yang bertujuan untuk menarik pelabur asing bagi merancakkan ekonomi tempatan.
“Tambahan pula, dengan era ekonomi digital kini sudah mengubah landskap global, jadi, dengan teknologi digital sebagai terasnya, aktiviti ekonomi kini menjadi digital, mempunyai rangkaian serta pintar melalui internet, data besar, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan,” katanya.
Beliau berkata, model ekonomi baharu ini mengubah gaya hidup dan kaedah pengeluaran, sekaligus memberi impak yang mendalam terhadap perkembangan ekonomi dan sosial global.
“Pusat data sedang ditubuhkan di seluruh dunia dan negara kita juga kini sedang giat memperkenalkan sektor teknologi ini dan bercita-cita untuk menjadi hab utama pusat data pada masa hadapan.
“Ia sejajar dengan dasar dan inisiatif progresif Kerajaan Madani yang bekerja ke arah masa depan yang menjanjikan untuk Malaysia,” katanya. – UTUSAN










