Dua lelaki di reman tujuh hari bantu siasatan kes bunuh kanak-kanak perempuan 

Dua lelaki di reman tujuh hari bantu siasatan kes bunuh kanak-kanak perempuan 

Siasatan di lokasi penemuan mayat sekitar kawasan cerun di Kampung Numbak, Sepanggar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap dua lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang mayatnya ditemukan di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar, semalam.

Perintah reman sehingga 24 Julai itu dikeluarkan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali terhadap kedua-dua suspek berusia 39 dan 42 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Permohonan reman dikemukakan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan La Paula Abd. Muis mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, kedua-dua suspek ditahan selepas mayat mangsa yang dilaporkan hilang sejak 13 Julai ditemukan di Kampung Numbak.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman dalam kenyataan berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala.

Menurut beliau, mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek keras dan tumpul, manakala motif kejadian masih dalam siasatan polis.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN