Malakoff, Alam Flora rangkul anugerah tertinggi kelestarian dan pengurusan sisa - Utusan Malaysia

Malakoff, Alam Flora rangkul anugerah tertinggi kelestarian dan pengurusan sisa

SURIATI Mokhtar (kiri) bersama Sofia Zakaria semasa menerima anugerah bagi pihak Malakoff dan Alam Flora.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) dan anak syarikatnya, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri apabila merangkul anugerah tertinggi di pentas Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2026.

Kejayaan pada majlis yang berlangsung di Hotel Berjaya Times Square itu menandakan tahun keempat berturut-turut kedua-dua organisasi berkenaan diiktiraf atas komitmen jitu dalam aspek kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat.

Dalam penganjuran edisi ke-11 itu, Malakoff menerima Anugerah Kepimpinan ESG dan Modal Insan bagi kategori Syarikat Terbaik (Penjanaan Tenaga), manakala Alam Flora membawa pulang Anugerah Impak Lestari dan Pemerkasaan Pekerja bagi kategori Syarikat Terbaik (Pengurusan Sisa).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, pengiktirafan berterusan itu mencerminkan disiplin operasi yang kukuh yang diterapkan dalam strategi kelestarian dan modal insan kumpulan.

“Meraih pengiktirafan ini selama empat tahun berturut-turut bukanlah satu pencapaian secara kebetulan. Ia adalah hasil langsung daripada strategi yang terancang, disiplin modal yang berterusan, serta kepercayaan organisasi.

“Tahun 2025 merupakan tahun penting bagi pelan hala tuju ESG kami apabila berjaya menerbitkan Sukuk Murabahah SRI Kelestarian ASEAN sulung dan tersenarai dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Syahrunizam, kelestarian sebenar syarikat dipacu oleh tenaga kerja apabila kakitangan mereka mencatatkan lebih 40,000 jam latihan pada tahun lepas, selain mengekalkan sifar insiden rasuah dan sifar pelanggaran hak asasi manusia.

“Pada 2025, Alam Flora melancarkan penggunaan armada baharu sebanyak 308 kenderaan pengutipan sisa yang disepadukan dengan teknologi pengurangan karbon termaju.

“Syarikat juga berjaya mengalihkan 6,826 tan sisa daripada tapak pelupusan melalui kitar semula yang aktif, serta mengendalikan kemudahan RISE KL di Kuala Lumpur yang mampu memproses sehingga 50 tan barangan kitar semula setiap hari,” katanya.

Anugerah berkenaan disampaikan pada Majlis Makan Malam Gala yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.

Menerima anugerah bagi pihak Malakoff ialah Ketua Komunikasi dan Penjenamaan Kumpulan, Suriati Mokhtar, manakala Ketua Pegawai Kewangan Alam Flora, Sofia Zakaria menerima bagi pihak Alam Flora.

Kemenangan berganda ini memperkukuh penjajaran strategik Kumpulan Malakoff dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) dalam menyediakan penyelesaian tenaga dan alam sekitar di bawah teras ‘Enhancing Life, Enriching Communities’. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN