PETALING JAYA: Usul mewujudkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan di Melaka bertujuan membuka jalan kerjasama antara UMNO dan Pas tanpa perlu berdepan kemelut pembahagian kerusi pilihan raya.
Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Kerk Chee Yee berkata, tindakan itu amat pelik kerana dibuat secara mengejut, selain mendapat sokongan tiga ADUN pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN).
Katanya, rekod sebelum ini menunjukkan satu-satunya situasi blok pembangkang menyokong usul kerajaan negeri adalah ketika pembentangan usul kenaikan gaji ADUN yang jelas didorong kepentingan peribadi masing-masing.
“Adakah mungkin, satu-satunya halangan Pas untuk bekerjasama dengan UMNO di Melaka ialah soal pembahagian kerusi? Adakah kerusi yang Pas mahu bertanding digantikan dengan pelantikan sebagai ADUN Lantikan dan begitu juga sebaliknya bagi UMNO?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chee Yee yang juga ADUN Ayer Keroh berkata, formula kerjasama politik antara UMNO dan Pas mula digerakkan di Johor sebelum beralih ke Negeri Sembilan dan kemungkinan Melaka menjadi destinasi seterusnya.
Katanya, sekiranya spekulasi itu benar, usul ADUN Lantikan yang dibentangkan merupakan strategi bagi membolehkan jajaran kerjasama politik direalisasikan dengan lebih mudah.
“Kalau itu benar, usul ADUN Lantikan di Melaka hanyalah wayang politik seperti wayang Dr. Muhamad Akmal (Saleh) mahu meletak jawatan sebelum ini, semata-mata untuk membuka laluan kepada kerjasama UMNO-Pas tanpa perlu pening kepala menyelesaikan isu pembahagian kerusi pilihan raya,” katanya. – UTUSAN










