PETALING JAYA: Malaysia akan terus mempertahankan kepentingan industri minyak sawit negara dalam menghadapi cabaran Kesatuan Eropah (EU).
Sehubungan itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi akan terus mengukuhkan usaha dan menambah baik pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk memenuhi keperluan Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penambahbaikan itu terutama berkaitan elemen kebolehjejakan, bebas penyahutanan, pemilikan sah ke atas tanah dan amalan buruh yang baik supaya minyak sawit negara diterima baik di seluruh pasaran dunia.
“Ia melalui usaha di peringkat domestik dan antarabangsa serta penekanan kepada amalan penanaman sawit secara mampan dan pematuhan terhadap standard kelestarian yang diiktiraf.
“Pelbagai usaha dilaksanakan kementerian untuk meyakinkan dan memastikan bahawa pensijilan MSPO dapat memenuhi perundangan EUDR supaya minyak sawit Malaysia tidak didiskriminasi di pasaran Eropah dan dunia,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam.
Mengulas lanjut, kata Johari, antara usaha dilakukan termasuk penubuhan pasukan petugas bersama Ad Hoc Joint Task Force on EUDR (Ad Hoc JTF) dengan kerjasama Indonesia, Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dan Suruhanjaya Eropah (EC).
“Melalui platform ini, pihak EU bersetuju untuk membantu menangani kekangan dihadapi Malaysia dan Indonesia dalam memenuhi keperluan EUDR,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) yang mahu tahu sejauh mana usaha kementerian dalam kempen meyakinkan EU bahawa MSPO adalah pensijilan yang memenuhi piawaian EUDR supaya minyak sawit Malaysia tidak didiskriminasi di pasaran Eropah dan dunia.
Kata Johari, mesyuarat pertama Ad Hoc JTF pada Ogos tahun lalu mengenal pasti lima kekangan utama merangkumi isu penglibatan pekebun kecil dalam rantaian bekalan, skim pensijilan nasional yang berkaitan.
Katanya, kekangan turut melibatkan kebolehjejakan daripada pengeluar kepada pengguna akhir, data saintifik mengenai penyahutanan serta degradasi hutan dan perlindungan data peribadi.
Jelasnya, melalui platform itu, MSPO bekerjasama dengan Institut Perhutanan Eropah (EFI) bagi menjalankan kajian analisis jurang perbezaan di antara skim pensijilan MSPO dengan perundangan EUDR.
Katanya, hasil awal kajian menunjukkan MSPO berpotensi besar untuk memenuhi keperluan peraturan EUDR, kerana Malaysia sudah menyemak semula piawaian MSPO 2.0 supaya selari dengan norma antarabangsa.
“Ia bagi meningkatkan kredibiliti dan mengembangkan skop yang lebih luas untuk pengiktirafan daripada pasaran global. MSPO 2.0 ditambah baik dengan kemasukan beberapa elemen membabitkan isu sosial dan amalan pertanian baik,” katanya.
Kata Johari, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) juga menerbitkan hasil analisis pakar pensijilan kemampanan minyak sawit dari Belgium, Pierre Bois d’Enghien, yang mendapati pensijilan MSPO berpotensi memenuhi semua keperluan EUDR.
Katanya, usaha penambahbaikan dalam pensijilan itu akan memastikan bahawa MSPO boleh diterima pakai sebagai ‘compliance tool’ untuk EUDR.
“Hasil kajian ini dapat mengesahkan status MSPO sebagai standard pensijilan bertaraf dunia yang akan membantu usaha industri sawit Malaysia untuk mengeksport minyak sawit mampan yang mematuhi ketetapan EUDR.
“Hasil kajian ini akan dikongsi dalam sesi libat urus Malaysia dengan EU supaya MSPO dapat diterima dan diiktiraf oleh EU,” katanya. – UTUSAN










