PUTRAJAYA: Malaysia mampu menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2027 disokong pertumbuhan ekonomi sekitar empat ke lima peratus setiap tahun.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, hasrat itu juga dapat dicapai dengan pengukuhan ringgit sekitar RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Selain itu, beliau berkata, Malaysia juga perlu menjadi hab kewangan antarabangsa disokong prestasi memberangsangkan Bursa Malaysia dan ketersediaan meneroka sektor ekonomi masa depan.
“Pada masa sama, ia juga mengambil kira kemampanan sektor tenaga kita, pertumbuhan pusat data dan potensi industri elektronik dan cip serta memanfaatkan kecerdasan buatan (AI).
“Jika semua petunjuk itu dipenuhi maka potensi Malaysia itu ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis peluncuran Penemuan Banci Ekonomi 2023 di sini, hari ini.
Ditanya sama ada pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kini mencecah RM1.514 trilion berupaya mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Ekonomi Asia, Rafizi berkata, tiada definisi khusus ditetapkan bagi mencapai kedudukan itu.
“Saya ingat persepsi Malaysia sebagai prospek Harimau Ekonomi Asia itu perlu juga berlandaskan ekonomi masa depan.
“Dia tak ada definisi ‘harimau’ ini apa di sebaliknya, sasaran ini kena rujuk kepada piawaian. Sebagai contoh, negara berpendapatan tinggi, piawaiannya ditentukan Bank Dunia.
“Ini adalah piawai mudah (Bank Dunia), soal ‘harimau’ tak ‘harimau’ , dia ada piawai tetapi pelabur perlu melihat potensi masa depan.
“Jadi, Malaysia berpotensi untuk tumbuh dengan baik. Kalau Malaysia tumpu kepada ekonomi masa depan maka negara dilihat berpotensi jadi ‘harimau’,” katanya.
Ditanya juga sama ada kerajaan bersedia untuk menyemak semula kadar KDNK, Rafizi berkata, beliau tidak ambil maklum mengenai perkara itu kerana ia tertakluk kepada Kementerian Kewangan.
“Setakat saya tahu, ia belum lagi dibincang. Sekarang baru nak masuk Ogos, apa bentuk ramalan akan diumum dalam pembentangan belanjawan. Kita tunggu bajet (pembentangan belanjawan),” katanya. – UTUSAN








