IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyertai Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak Darul Ridzuan yang diadakan di Masjid Sultan Idris Shah II, hari ini.
Majlis tersebut diadakan sebelum beliau bersama lebih 1,000 jemaah yang lain menunaikan Solat Jumaat di masjid negeri itu.
Turut hadir ialah beberapa pentadbir kerajaan negeri Perak yang menyertai bacaan Yasin dan Tahlil yang bermula pada pukul 12.50 tengahari.
Antara yang hadir ialah Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini; Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim.
Selain itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris.
Majlis itu diadakan sempena Hari Pahlawan yang disambut pada setiap 31 Julai bagi memperingati jasa anggota bersenjata yang mempertahankan negara. – UTUSAN








