IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke sambutan Hari Pahlawan 2024 peringkat negeri yang diadakan di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris; Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin dan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Asri Shukor
Istiadat bermula dengan perarakan masuk panji unit dan kawalan kehormatan utama dengan iringan pasukan pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah.
Sultan Nazrin kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai kanan dan 102 anggota lain-lain pangkat PDRM Kontinjen Perak dipimpin Deputi Superintenden Mohd. Faizan Ahmad dibantu Asisten Superintenden Wan Ahmad Fahmi.
Pegawai pembawa panji-panji adalah Inspektor Muhammad Syamil Abdul Manan dengan detasmen perhimpunan mengandungi seramai 408 pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang turut merangkumi veteran tentera serta pesara polis.
Sebaik kawalan kehormat selesai, tiupan paluan akhir (Last Post) dimainkan dan bendera Jalur Gemilang kemudian diturunkan.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa khas Hari Pahlawan oleh Asisten Superintenden Mohd. Mahyuddin Mohd. Mokhtar dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Acara kemudian diteruskan dengan deklamasi sajak berjudul ‘Darah Yang Terpercik Di Baju’ disampaikan Koperal Nurul Syuhada Azmi dari Kontinjen Perak dan Lans Koperal Mohamad Fazreen Jamaluddin dari Batalion Ke-9 Regimen Renjer Diraja.
Sebaik selesai, tiupan Rouse kemudian dimainkan dan Jalur Gemilang kembali dinaikkan semula diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan utama keluar perbarisan menandakan penamat acara sambutan.
Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun sempena tanggal tamatnya Darurat di Tanah Melayu iaitu pada 31 Julai 1960. – UTUSAN








