Kumpul data, hantar cadangan semakan levi minyak sawit

Kumpul data, hantar cadangan semakan levi minyak sawit

JOHARI Abdul Ghani (tengah) bersama bersama perwakilan UMNO Bukit Gantang pada mesyuarat bahagian parti itu di Taiping, Perak hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Kementerian Perladangan dan Komoditi akan mengumpul maklumat berkaitan kos daripada semua pemain industri minyak sawit dalam negara, sebelum cadangan semakan semula levi keuntungan luar biasa (WPL) terhadap minyak sawit dihantar kepada Kementerian Kewangan (MoF).

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, cadangan itu akan dihantar kepada MoF sebelum pembentangan Belanjawan 2025.

Beliau berkata, WPL sebelum ini dibuat berlandaskan kos purata mengeluarkan satu tan metrik minyak sawit pada harga RM1,800 dengan harga pasaran antara RM3,000 hingga RM4,000.

Namun katanya, kajian semula itu wajar dibuat jika mendapati kos pengeluaran telah meningkat sedangkan harga pasaran yang tidak begitu tinggi.

“Sebenarnya keputusan hendak tentukan perkara ini adalah oleh MoF. Cuma kementerian akan ambil semua kos yang terlibat daripada semua pemain industri dalam negara. Kemudian kita buat satu purata dan kita tengok.

“Kalau kos hendak mengeluarkan satu tan minyak sawit telah mencecah RM3,000 maka kalau harga pasaran CPO (minyak sawit mentah) katakan RM3,500, takkanlah kita hendak wujudkan WPL.

“Kalau RM3,000 manakala harga CPO RM6,000 atau RM5,000 bolehlah WPL,” katanya kepada pemberita semasa hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang di sini hari ini.

Pada Khamis lalu, Johari dilaporkan berkata harga minyak sawit akan menjadi tidak kompetitif berbanding negara-negara pengeluar lain sekiranya WPL ke atas minyak sawit di negara ini tidak disemak semula.

Katanya, perkara itu juga secara tidak langsung boleh menggalakkan penanaman semula apabila produk tersebut menjadi kompetitif, sekali gus lebih ramai akan datang dan melabur.

Kadar WPL sebanyak 3.0 peratus dikenakan terhadap harga minyak sawit melebihi RM3,000 satu tan di Semenanjung Malaysia dan melebihi 3,500 ringgit satu tan metrik di Sabah dan Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN