KOTA KINABALU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM211.89 juta untuk melaksana pelbagai projek pembangunan di Sabah tahun ini.
Menterinya, Nga Kor Ming secara simbolik menyerahkan peruntukan itu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya hari ini.
Pada pertemuan itu, Hajiji turut menyaksikan penyerahan projek menaik taraf Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Baharu Kayu Madang yang siap dibina kepada kerajaan negeri.
Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M. Noor Azman Taib menyerahkan dokumen siap projek kepada Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Lifred Wong.
Projek pembinaan sel baharu di tapak pelupusan itu dilaksanakan pada Februari lalu dengan kos keseluruhan sebanyak RM44.14 juta dan tapak itu mampu menerima 850 metrik tan sisa pepejal sehari.
Projek tersebut memberi manfaat kepada lima pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu DBKK, Majlis Daerah Putatan, Majlis Daerah Tuaran, Majlis DaerahKotaBelut dan Majlis Daerah Penampang.
JPSPN telah menaik taraf ‘Leachete Treatment Plant’ menggunakan teknologi nano filteration yang canggih dan membolehkan air larut resap (leachate) melepasi semua 24 parameter yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum air terawat ini dilepaskan ke punca air.
Kor Ming juga memaklumkan, kementeriannya melalui JPSPN dalam proses membuat reka bentuk dua lagi projek baharu bernilai RM77 juta iaitu projek pembinaan Tapak Pelupusan Sanitari Sisa pepejal Pantai Barat Selatan serta projek menaiktaraf Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Labuk, Sandakan.
Sementara itu KPKT juga sedang memohon peruntukan Kementerian Ekonomi bagi kelulusan Rolling Plan Kelima (RP5) bagi membina empat lagi projek baharu pengurusan sisa pepejal khusus untuk negeri Sabah bernilai kira-kira RM105 juta. – UTUSAN










