SEREMBAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM430.26 juta kepada Negeri Sembilan bagi melaksanakan 80 projek pembangunan utama di seluruh negeri ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan tersebut disalurkan sejak tahun 2023 bagi pelaksanaan projek-projek melibatkan pelbagai sektor termasuk pembinaan dan penyenggaraan infrastruktur awam, perumahan rakyat, pembangunan landskap, rumah ibadat bukan Islam (RIBI), pembangunan kampung baharu serta pelbagai kemudahan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ini merupakan usaha yang dilaksanakan secara konsisten oleh KPKT bagi meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara langsung oleh masyarakat,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 Tahun 2026 Negeri Sembilan di Sikamat, di sini hari ini.
Terdahulu, Kor Ming mengumumkan kerajaan turut meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM119.6 juta di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Tahun 2026 bagi pelaksanaan 31 projek pembangunan infrastruktur awam di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM29.6 juta diperuntukkan bagi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) melibatkan pembinaan 390 unit rumah di beberapa daerah di negeri itu.
“RM26.8 juta diperuntukkan bagi pembinaan Pasar Awam Ampangan, Dewan Masyarakat Nilai Impian, Pasar Besar Kuala Pilah dan gerai di Simpang Empat, Jempol, selain kerja-kerja pembaikan cerun, menaik taraf pasar awam, penambahbaikan sistem perparitan, penyelenggaraan tandas awam ke tahap Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) serta pelbagai projek pembangunan lain dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Selain itu, beliau berkata, sebanyak RM24 juta pula disediakan bagi pengoperasian Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Ladang Tanah Merah, Port Dickson manakala RM15.3 juta diperuntukkan bagi pembinaan tiga projek Program Residensi Rakyat (PRR) di Jempol, Port Dickson dan Nilai.
Katanya, kementerian turut meluluskan RM4.68 juta bagi pelaksanaan 32 projek di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) dan Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) melibatkan kerja membaik pulih dan menyelenggara harta bersama di perumahan kos rendah dan rumah berstrata.
“Sebanyak RM4.5 juta pula diperuntukkan bagi pelaksanaan 24 subprojek pembangunan Kampung Baharu, diikuti RM3.5 juta bagi projek sanitasi awam termasuk penutupan selamat Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Kampung Keru di Tampin.
“Turut diluluskan ialah RM3.1 juta bagi penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam melibatkan 24 operator RIBI, RM2.2 juta bagi projek menaik taraf landskap taman awam dan Kajian Pelan Induk Landskap Daerah Kuala Pilah serta RM1.6 juta bagi pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat di Bandar Enstek dan Palong 6 serta pembinaan semula Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut memperuntukkan RM680,000 bagi Program Baik Pulih dan Bina Baharu Rumah di Bandar melibatkan 25 unit rumah golongan berpendapatan rendah serta RM943,000 bagi Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040.
“Semua inisiatif ini mencerminkan komitmen KPKT untuk memastikan pembangunan yang lebih tersusun, mampan dan inklusif dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN










