Pembangunan projek perumahan perlu penuhi standard kualiti hidup

Pembangunan projek perumahan perlu penuhi standard kualiti hidup

AIMAN ATHIRAH SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangunan perumahan baharu perlu memenuhi standard kualiti hidup dan membentuk komuniti bukan sekadar menambah unit kediaman tanpa identiti.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) kini memperkukuh pemantauan terhadap pembangunan perumahan.

Kata beliau, langkah tersebut bagi memastikan semua projek mematuhi garis panduan perancangan termasuk penyediaan kawasan hijau, kemudahan masyarakat serta ruang interaksi sosial.

“PBT di Semenanjung juga telah pun mula memberi fokus kepada parameter baharu dalam rancangan tempatan, iaitu melibatkan reka bentuk berskala manusia, jaringan pejalan kaki, ruang hijau berfungsi dan integrasi sosial,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk C. Sivaraj mengenai dasar pembangunan perumahan bagi memastikan projek baharu bukan sahaja membina bangunan, tetapi turut menyediakan landskap, kemudahan awam dan identiti komuniti.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata, laporan pelaksanaan Rancangan Fizikal Negara Keempat akan dibentangkan kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan pembangunan kekal selaras dengan dasar negara.

Menjawab soalan Senator Jufitri Joha mengenai isu kecacatan projek perumahan yang telah disiapkan, beliau berkata, pembeli boleh merujuk tempoh tanggungan kecacatan selama 24 bulan atau membawa kes ke Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah sekiranya wujud masalah selepas penyerahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN