JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mengambil tindakan tegas terhadap pekerja kontraktor yang tular melanggar seekor anjing dalam satu kejadian di kawasan Puteri Wangsa, di sini Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, individu yang terlibat merupakan pekerja kepada kontraktor dilantik bagi melaksanakan operasi penghapusan kacau ganggu anjing liar di daerah ini.
Beliau berkata, MBJB telah menjalankan siasatan dalaman dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pihak kontraktor atas kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan syarat pelantikan yang telah ditetapkan.
Katanya, kerajaan negeri memandang serius insiden pelanggaran anjing liar tersebut dan tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang bentuk kecuaian, salah laku atau ketidakpatuhan terhadap SOP yang telah ditetapkan.
“Setiap operasi penguatkuasaan berkaitan tangkapan dan pelupusan anjing terbiar wajib dilaksanakan secara terkawal, berhemah dan mematuhi sepenuhnya SOP Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Sebarang tindakan yang melanggar SOP, mencemarkan imej penguatkuasaan atau menimbulkan keresahan awam tidak akan dilindungi oleh kerajaan negeri,” katanya.
Sebelum ini, tular video dan tangkap layar yang memaparkan kenderaan pacuan empat roda pihak kontraktor berkenaan melanggar anjing liar di beberapa platform media sosial.
Susulan kejadian itu, MBJB juga telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa sekiranya terdapat unsur kecuaian, salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang dalam insiden ini.
Mohd. Jafni berkata, sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku pelanggaran SOP atau kecuaian, tindakan tegas akan diambil termasuk penggantungan operasi, penamatan kontrak, senarai hitam serta tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Selaras dengan Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing (MBJB) 1995, setiap pemilik haiwan peliharaan bertanggungjawab memastikan anjing dipelihara secara terkawal dan tidak dilepaskan bebas tanpa pemantauan sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam serta mengundang risiko kepada keselamatan masyarakat.
“Kerajaan Johor dan MBJB komited memastikan setiap operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan mematuhi lunas undang-undang demi menjaga keselamatan awam, kebajikan haiwan serta keharmonian masyarakat,” katanya. – UTUSAN










