KOTA KINABALU: Kadar Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di Sabah menunjukkan penurunan ketara sehingga 76.1 peratus iaitu daripada 22,510 KIR pada September tahun lalu kepada 5,379 KIR setakat Jun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan angka locked figure (LF) 22,510 KIR, hasil semakan bersama Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) juga menunjukkan bahawa seramai 3,531 KIR memiliki tanah bergeran.
Beliau berkata, penurunan ketara itu adalah hasil usaha berterusan kerajaan negeri termasuk penubuhan Pasukan Petugas Khas dalam membantu mempercepatkan agenda menoktahkan miskin tegar di negeri ini.
Pasukan itu melaksanakan gerak kerja pemutihan dan profiling miskin tegar di lapangan dalam mengenal pasti status terkini KIR berdasarkan locked figure (LF) miskin tegar.
“Bagi KIR yang masih diklasifikasikan sebagai miskin tegar, intervensi dan pemadanan bantuan yang bersesuaian akan diberikan kepada KIR tersebut.
“Secara asasnya, Pasukan Petugas Khas ini bertanggungjawab untuk melihat semula status terkini KIR bagi tujuan penyelarasan data dalam sistem e-Kasih,” katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau berkata, Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai urusetia Program Menoktahkan Miskin Tegar di negeri Sabah akan bertindak untuk menyelaras data KIR yang berstatus miskin tegar yang telah menerima bantuan, seterusnya dipadankan dengan bantuan bersesuaian.
Katanya, aktiviti pemadanan dan intervensi bantuan merupakan kerjasama bersama 27 Agensi pemberi bantuan di dalam program ini terdiri daripada 10 kementerian negeri Sabah, sembilan agensi kerajaan negeri, tujuh agensi kerajaan Persekutuan dan satu pemain industri.
Hajiji percaya, beberapa daerah di Sabah boleh menoktahkan miskin tegar pada tahun ini.
Kata beliau, kerajaan masih berjuang untuk memastikan KIR miskin tegar dibantu dengan bantuan syarikat-syarikat di Sabah mengambil KIR miskin tegar bekerja untuk memperoleh pendapatan yang mampan. – UTUSAN










