KUALA LUMPUR : Kes pencemaran sungai mencatatkan penurunan daripada 29 sungai kepada 25 sungai tahun ini.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan penurunan tersebut dimana Indeks Kualiti Air (IKA) telah memantau 672 sungai yang secara puratanya dikategori sebagai tercemar.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, kementeriannya melalui JAS kan terus menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 demi menjamin kualiti air sungai negara sentiasa terpelihara.
“Kualiti air sungai boleh dipelihara dengan baik sekiranya isu ini ditangani secara bersepadu melalui penglibatan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Sebanyak 896 aduan pencemaran sungai telah diambil tindakan siasatan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak tahun 2020. “Bagi tempoh sama sebanyak 772 kes pencemaran air didakwa dan disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda terkumpul RM13.3 juta,” katanya di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Untuk rekod pada tahun lalu, sebanyak 1,353 stesen pengawasan kualiti air sungai manual yang merangkumi 672 sungai telah dipantau di negara ini dengan kekerapan persampelan bagi setiap stesen dijalankan sebanyak enam kali setahun.
Selain itu, terdapat juga 30 stesen pengawasan kualiti air sungai automatik yang bertujuan untuk memantau kualiti air sungai di hulu takat pengambilan air di sungai-sungai utama yang menjadi sumber bekalan air.
Punca berlaku pencemaran antaranya disebabkan oleh faktor industri, loji kumbahan, perbandaran, pertanian, perumahan dan penternakan. – UTUSAN










