PENGANJURAN Debat Alam Sekitar edisi ke-32 pada tahun ini menyaksikan penyertaan sebanyak 25 institusi pendidikan tinggi (IPT) dari seluruh negara yang berentap dalam pertandingan debat berprestij ini.
Program ini menghimpunkan mahasiswa dan mahasiswi bagi membahaskan isu-isu alam sekitar secara kritis, berfakta dan konstruktif, di samping menggalakkan percambahan idea serta penyelesaian inovatif terhadap cabaran alam sekitar semasa.
Penganjuran debat ini merupakan sebahagian daripada usaha Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam memperkasa pendidikan dan kesedaran alam sekitar di peringkat nasional, selaras dengan aspirasi program Kampus Lestari Anugerah Alam Sekitar (KLAAS).
Inisiatif ini bertujuan membudayakan amalan lestari dalam kalangan warga kampus, di samping memperkukuh pengetahuan, nilai dan rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar sebagai asas kepada pembangunan negara yang mampan.
Selaras dengan perkembangan semasa, debat ini sentiasa mengetengahkan usul-usul yang relevan dengan cabaran dan isu alam sekitar di peringkat nasional mahupun global.
Antara tema yang menjadi fokus perbahasan termasuk peralihan tenaga, ekonomi biru, pembangunan lestari, pemuliharaan biodiversiti, teknologi hijau dan pengukuhan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (1974).
Ini membolehkan peserta mengupas sesuatu perkara secara mendalam berdasarkan fakta, dasar kerajaan, kajian saintifik dan perkembangan terkini.
Ini bukan sekadar sebuah pertandingan debat, malah sebuah platform pendidikan yang berkesan dalam memupuk pemikiran kritis, kemahiran berhujah, kepimpinan dan keupayaan menghasilkan cadangan penyelesaian yang bernas terhadap isu-isu alam sekitar.
Program ini turut berperanan melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang mampu mengimbangi keperluan pembangunan negara dengan tanggungjawab memelihara alam sekitar dalam memastikan negara kekal dengan kepelbagaian biodiversiti, sumber asli yang mampan dan alam sekitar yang lestari.
Penganjuran debat ini akan terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara kerajaan, IPT dan masyarakat dalam melahirkan generasi yang berilmu, berintegriti serta bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.
Usaha membentuk masyarakat yang lebih peka, proaktif dan komited terhadap agenda pemeliharaan alam sekitar dapat terus diperkasakan demi kesejahteraan negara dan generasi masa hadapan. – UTUSAN
JABATAN ALAM SEKITAR










