`Kerusi kami tidak kosong, kami tidak tinggalkan Bersatu’

`Kerusi kami tidak kosong, kami tidak tinggalkan Bersatu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terhenti keahliannya yakin tidak akan berlaku kekosongan kerusi kawasan masing-masing dan masih ahli Parlimen yang sah. 

Pendirian itu ditegaskan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang mewakili kumpulan mereka dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini. 

“Kami berpendapat bahawa tidak akan berlaku kekosongan kerusi Ahli Dewan Rakyat kawasan Parlimen kami disebabkan kami tidak meninggalkan parti Bersatu, kami tidak berhenti menjadi ahli kepada parti Bersatu tetapi apa yang berlaku ialah kami dipecat daripada parti dan nama kami dibuang daripada sistem keahlian Bersatu. 

“Maka, dengan ini jelas membuktikan tidak ada unsur-unsur kami berenam meninggalkan parti atau melompat ke parti lain yang mana boleh meletakkan kami di perkara 49 A (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya, hari ini. 

Mengulas lanjut, Suhaili berkata, mereka berenam turut berpandangan kekosongan kerusi tidak berlaku memandangkan pindaan Perlembagaan Bersatu hanya lulus pada 1 April lepas setelah mereka membuat keputusan menyokong Kerajaan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Kami beranggap bahawa Perlembagaan parti yang sememangnya dipinda dengan niat jahat untuk memastikan kami berenam dijadikan kambing hitam atau lebih jelas sebenarnya kami berenam ini dianiaya oleh pucuk pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN). 

“Ia hanya kerana kami memilih untuk mengutamakan rakyat yang mengundi kami daripada terus menyokong pucuk pimpinan pembangkang yang terus menghentam dan mengkritik Kerajaan Perpaduan tanpa berkesudahan,” katanya. 

Pada masa sama, beliau berkata, kami menyokong kerajaan demi kepentingan rakyat di kawasan Parlimen  masing-masing yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan kebajikan. 

“Apa yang menyebabkan kami berenam ini sebelum ini menjadi pembangkang? Bukan kami. Kami bertanding untuk menang dan jadi kerajaan. 

“Kami bertahan sehingga satu tahun dan jaga kawasan tanpa peruntukan, tetapi tidak boleh katakan tiada peruntukan lima tahun berturut-turut.  

“Itu sebab ini bukan pilihan kami untuk menjadi pembangkang, ini keputusan pucuk pimpinan yang menjadikan kami mangsa keadaan, maka kami memilih untuk balik semula jalan betul demi rakyat mengundi kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN