KANGAR: Abu Bakar Hamzah percaya kedudukan beliau sebagai Menteri Besar tidak terjejas meskipun dipecat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan keputusannya meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan (MPT) parti baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau yang masih mengekalkan jawatan Pengerusi Bersatu negeri menyerahkan segala keputusan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, keadaan sama pernah berlaku di Kedah apabila terdapat wakil rakyat dipecat parti, tetapi masih memegang jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Exco.
“Apa jua tindakan atau keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin selepas ini berhubung peletakan jawatan saya sebagai Ahli MPT termasuk jika saya dipecat daripada parti sekali pun, saya akan menerima dengan hati terbuka,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan ESR Motor bagi projek pembinaan litar lumba di sini hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan berkata, Bersatu kekal kukuh dan utuh meskipun terdapat beberapa pemimpin tertinggi parti termasuk Abu Bakar mengambil keputusan melepaskan jawatan dalam barisan MPT.
Muhyiddin berkata, beliau akan mendapatkan laporan lengkap terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang ulasan lanjut mengenai kedudukan sebenar pemimpin berkenaan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut menegaskan bahawa walaupun pemimpin terbabit meletakkan jawatan dalam kepimpinan tertinggi, mereka secara rasminya masih kekal sebagai ahli Bersatu dan segala isu dalaman akan diselesaikan secara tertutup.
Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan, Abu Bakar dan seorang Exco kerajaan negeri meletak jawatan Ahli MPT selain pengisytiharan keluar parti oleh Setiausaha Bersatu negeri merangkap Ahli Dewan Negara, Azahar Hassan.
Kata Abu Bakar, peletakan jawatan beliau sebagai Ahli MPT adalah bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas sebagai Menteri Besar yang berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, barisan kepemimpinan Bersatu Perlis masih berpegang teguh kepada etika parti dan yakin perkara di luar jangkaan tidak mungkin berlaku. – UTUSAN










